Seorang wanita tidak menyangka, anak kandungnya yang baru berusia lapan tahun sudah pandai bertanya ‘soalan’ begitu mencabar hingga membuatkan dirinya tergamam.
Tidak mampu memberikan jawapan, wanita yang dikenali sebagai Manis itu sebenarnya mahu melindungi maruah ibu dan bapanya khususnya di mata cucu-cucu mereka.
Masih mencari jalan untuk memberitahu perkara sebenar tanpa membuka aib ibu bapa, berikut perkongsian Manis yang membesar sebagai seorang anak ‘tidak sah taraf’.
Assalamualaikum semua, saya kenalkan diri sebagai Puan Manis. Isteri yang berusia dalam lingkungan 30-an. Saya sudah sembilan tahun berkahwin dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Saya sebenarnya dilahirkan sebagai anak yang tidak sah taraf. Allahuakbar, menyebut perkataan itu sahaja sudah buat air mata saya berlinang.
“Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Merupakan anak sulung dan ibu bapa baru berkahwin selepas saya dilahirkan. Jadi, adik-adik yang lain semuanya memang berbinkan ayah. Hanya saya sahaja yang berbintikan Abdullah. Tetapi masa itu saya budak lagi. Jadinya memang tak tahu menahu mengenai status sebenar saya.
“Saya mula tahu sewaktu Darjah Lima apabila tanpa sengaja tertengok sijil kelahiran. Pada ruangan maklumat ayah, memang ditulis tidak diketahui. Saya tanya ibu namun dia cuma jawab terpaksa letak binti Abdullah. Sebabnya kad pengenalan ayah hilang ketika saya dilahirkan. Tetapi pada masa, yang sama saya sudah boleh agak.
“Hal ini kerana tarikh nikah ibu dan ayah yang tercatat selepas saya dilahirkan. Saya menangis bagi nak gila dan rasa macam diri tak berguna. Tetapi, saya langsung tak marahkan ibu dan ayah. Demi Allah langsung tiada dendam dalam hati. Sekurangnya ibu dan ayah tak buang atau bezakan saya dengan adik-adik lain. Rasa bersyukur.
“Jadi disebabkan status itu, saya menikah pakai wali hakim sahaja. Alhamdulillah, ibu dan ayah permudahkan urusan saya. Mereka langsung tak minta maaf. Namun saya tahu, mereka sudah cukup rasa berdosa dengan saya. Dunia akhirat saya sayangkan mereka. Suami saya juga Alhamdulillah, terima saya dengan seadanya.
“Suami tak pernah kisah dengan status saya. Alhamdulillah syukur sangat. Cumanya yang menjadi masalah, dua hari lepas anak saya yang sulung bertanya mengapa ibu tidak berbintikan Atuk. Sedangkan ibunya anak Atuk. Pak teh, mak ngah dan pak uda semuanya ada nama Atuk. Anak saya sekarang berumur lapan tahun.
“Ya Allah, saya rasa macam ada batu timpa atas kepala. Saya pandang anak tanpa reaksi. Saya terkejut. Ya Allah saya tak tahu nak terangkan macam mana pada anak. Saya tak dapat fikir jawapan yang spontan, cuma mampu pandang dia sahaja. Kalau boleh, tak nak anak tahu. Takut dia fikir bukan-bukan pasal atuk dan neneknya.
“Tetapi anak saya semakin dewasa. Lama-kelamaan, dia akan tahu juga. Cuma saya tak tahu bagaimana nak terangkan kepada dia nanti. Dua hari kebelakangan ini saya jadi murung. Kadang-kadang menangis seorang diri. Semua benda saya buat, serba tak kena. Sudah begitu lama saya tak menangis mengenai perkara ini.
“Sungguh, saya reda menerima ketentuan Ilahi. Namun apabila jadi seperti ini, saya memang buntu. Saya juga takut jika anak bertanya kepada atuk dan juga neneknya sendiri mengenai perkara ini. Saya tak mahu mereka malu. Hari ini pula saya terbaca pasal seorang gadis yang mengaku dia sebenarnya anak luar nikah kepada umum.
“Saya sesungguhnya sangat mengerti perasaan gadis tersebut. Semoga yang baik-baik sahaja untuk dia. Tolong bantu saya bagaimana mahu terangkan kepada anak? Tolong jangan kecam saya. Maaf kalau ayat saya berterabur. Mohon doakan saya.” Kongsi Puan Manis (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Tanah Perbadanan Menteri Besar Kelantan pun kena lelong?