Anak dan isteri saya mungkin diculik, kata Tengku Adnan

Enggan mengisytihar aset seperti didesak pihak pembangkang, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa keluarganya berisiko dijadikan sasaran penjenayah jika beliau berbuat demikian.

Anak dan isteri saya mungkin diculik, kata Tengku Adnan

Enggan mengisytihar aset seperti didesak pihak pembangkang, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa keluarganya berisiko dijadikan sasaran penjenayah jika beliau berbuat demikian.

“Jika saya isytihar aset, anak dan isteri saya mungkin diculik,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Umno lapor Astro Awani hari ini.

Beliau berkata, sebelum berkecimpung dalam politik, dirinya merupakan seorang ahli perniagaan sekaligus mempunyai banyak aset.

“Saya tidak akan isytihar aset saya kepada orang ramai. Saya hanya akan isytihar apa yang dikehendaki,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, beliau sudah sedia mengisytihar aset kepada Datuk Seri Najib Razak sama seperti menteri-menteri lain manakala Datuk Bandar dan Ketua Setiausaha berbuat demikian kepada Ketua Setiausaha Negara.

“Setiap tahun saya memang isytihar aset kepada Perdana Menteri bersama menteri-menteri lain,” jelasnya mengulas desakan supaya beliau dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz mengisytihar aset masing-masing.

Kelmarin, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menuntut Adnan dan Amin Nordin mengisytihar harta mereka supaya menjadi contoh kepada pegawai lain.

Desakan Fahmi itu ekoran penangkapan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 15 Ogos lalu.

Dua penjawat awam yang turut ditahan adalah dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mereka yang dalam lingkungan usia 50-an itu ditahan di ibu negara, Melaka dan Kelantan atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ekoran penahanan mereka, akaun milik mereka terbabit melebihi RM13 juta dibekukan termasuk wang simpanan dan amanah saham berjumlah antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang.

Beberapa unit kondominium mewah termasuk unit ‘penthouse’ dan rumah banglo serta kenderaan mewah juga disita.

Sehubungan itu, 19 individu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes terbabit.

Datuk Dzulkifli Ahmad yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuatkuasa 1 Ogos lalu dilihat mengambil tindakan tegas dalam membendung jenayah rasuah di negara ini.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan agresif itu termasuk pembekuan harta berdasarkan akta-akta berkaitan walaupun inidividu itu baru menjadi suspek dan kesnya masih dalam siasatan.

Menurutnya yang juga bekas Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara itu, harta suspek boleh dibekukan sehingga 90 hari dan jika ada alasan munasabah boleh dilanjutkan sehingga sembilan bulan lagi.