Malaysia Dateline

Mazlan Aliman

ANAK desak SPRM siasat semula pembelian pangsapuri RM538 juta

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pembelian dengan harga RM538 juta pada 2013 itu telah dilaporkan kepada SPRM sebelum ini sama seperti pembelian hotel di Kensington.

Menyokong ketegasan SPRM untuk segera menangkap mereka yang terbabit dalam pembelian hotel empat bintang di Kensington pada 2014 itu, Mazlan berkata, Felda Investment Corporation (FIC) mengalami kerugian besar akibat urus niaga tersebut.

Hasil maklumat siasatan awal SPRM mendapati FIC dipercayai membeli hotel 62 bilik bernilai RM330 juta itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Mengulas lanjut, Mazlan yakin terdapat ‘bukti dan penemuan baru’ untuk melengkapkan siasatan pembelian aset ratusan juta ringgit yang amat mencurigakan itu.

“Jika disenaraikan, antara tahun 2012 hingga 2016, terlalu banyak dakwaan dibuat mengenai penyelewengan dan salah guna di Felda, FGV (Felda Global Ventures Holdings Berhad) dan anak anak syarikat.

“Pengerusi kepada Lembaga Pengarah Felda, FGV dan FIC dalam tempoh tersebut adalah Tan Sri Isa Samad, tokoh politik yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.

Sehubungan itu, ANAK mengulangi desakan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membongkar skandal terbesar dalam sejarah Felda seperti yang dilakukan terhadap kegiatan perdagangan mata wang atau atau forex.

“Ia (Skandal Felda) melibatkan 112,635 orang peneroka Felda, yang kini sedang menanggung akibatnya. Jika skandal Forex lebih 20 tahun lalu, yang dikaitkan zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri boleh dikorek semula, mengapa perkara yang sama (skandal Felda), ketika sedang hangat diperkatakan dan sedang berlaku di depan mata, mahu cuba disembunyikan?” bidasnya lagi.

Semalam, SPRM merakam percakapan enam lagi individu dari FIC sebagai saksi iaitu Ketua Hospitaliti FIC, Datuk Megat Shahrul Azman Abas; Ketua Kewangan FIC, Azlan Mohamed Ismail serta Pengurus Kanan Strategik dan Pelaburan, Nani Ariani Md Hanif.

Turut memberikan kenyataan Eksekutif Kewangan, Siti Syairah Mohd Mokhtar; Pembantu Pengurus Kewangan, Nurmayanty Danuri serta bekas Timbalan Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi, Azlan Ibrahim.

Difahamkan, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu yang menjadi saksi penting yang mengetahui sama ada wujudnya unsur rasuah dan penyelewengan dalam pembelian hartanah terbabit.