Anak desak Suruhanjaya DiRaja ditubuh siasat kehilangan berbilion wang Felda

Anak desak Suruhanjaya DiRaja ditubuh siasat kehilangan berbilion wang Felda

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan kehilangan berbilion wang Felda.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, sehubungan itu, Anak yakin ramai yang akan tampil memberi keterangan mengenai tuduhan terhadap tokoh-tokoh tertentu yang terlibat dengan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Anak katanya, yakin bukan sahaja pendedahan mengenainya telah dibuat melalui Laporan Audit Negara, tetapi difahamkan laporan polis dan SPRM telah dilakukan. Namun, individu yang berkaitan masih bebas tanpa sebarang dakwaan.

“Anak ingin mengingatkan Polis dan SPRM, Kerajaan PH tidak akan sekali-kali berkompromi dengan pemimpin atau penjawat korup yang berselindung atau ‘meminta nyawa’ dengan tokoh tertentu, untuk menyelamatkan diri masing masing.

“Apa yang dikesalkan, ada dalam kalangan mereka mempunyai jawatan penting di Felda dan menjadi ‘balaci’ kepada kehendak tokoh-tokoh tertentu.

“Ia bukan tuduhan, laporan dan dakwaan telah dibuat sebelum ini, namun senyap begitu sahaja,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Justeru tambahnya, bukan sahaja RCI, komitmen Polis, SPRM dan ‘pembersihan’ dalam Felda mesti dilakukan segera, demi mempastikan intergriti Felda dapat dikembalikan.

Jelas beliau, Anak amat mengalu-alukan lebih banyak maklumat penyelewengan disalurkan demi kepentingan masyarakat Felda.

“Kita tidak boleh kompromi dengan pengkhianat Felda, ibarat harapkan pagar, pagar makan padi! Mereka yang terlibat benar-benar mengecewakan warga Felda dan tidak akan terlepas daripada menerima pengadilan atas perbuatan mereka.

“Apa yang pasti, info yang disampaikan oleh berbagai pihak kepada Anak ketika ini, membenarkan dakwaan bahwa situasi di Felda adalah parah dan mesti diselamatkan segera,” kata beliau.

Justeru ujar Mazlan, penubuhan Lembaga Penasihat Kerajaan yang antara lain untuk melakukan reformasi terhadap Institusi, contohnya Felda, sejajar dengan aspirasi Kerajaan PH, yang bertekad untuk memerangi rasuah dan penyelewengan hingga ke akar umbi.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES