Malaysia Dateline

Anak dilahirkan di luar negara, tindakan Kerajaan Persekutuan mengecewakan

Tindakan Kerajaan Persekutuan mengemukakan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan kes kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia dilihatsebagai mendiskriminasi wanita dan membahayakan masa depan anak berkenaan.

Menurut Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kho Teck Wan prosedur dan syarat permohonan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing perlu sama seperti anak kepada warganegara lelaki Malaysia yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan bukan rakyat Malaysia.

“Saya tidak boleh mengemukakan pandangan bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak, tetapi SUPP melalui Ketua Setiausaha parti kami, Dato Sebastian Ting menyatakan kekecewaan kami dan mendesak Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan itu.

“Justeru, keputusan Kerajaan Persekutuan mengemukakan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan sahaja menyebabkan penderitaan kepada beberapa ibu bapa, tetapi mendiskriminasi wanita dan membahayakan masa depan anak-anak,” katanya menerusi satu catatan di laman Facebooknya di Kuching.

SUPP merupakan parti yang bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut disertai Parti Pesaka Bumiputera Sarawak Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Beliau menegaskan bahawa, tindakan tersebut akan merisikokan masa hadapan anak-anak tersebut.

“Anak-anak yang dilahirkan ini tidak diberikan sebarang pilihan untuk memilih ibu bapa dan dilahirkan di negara mana mereka dilahirkan.

“Bagi yang tidak bernasib baik tanpa kewarganegaraan di mana ia akan menyukarkan mereka untuk mendapat pendidikan dan penjagaan kesihatan yang betul, yang kemudiannya memberi kesan buruk kepada prospek dan potensi mereka sebagai orang dewasa.

“Ia akhirnya akan menjadi beban kapada masyarakat,” soal beliau lagi.

Sebelum itu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak yang dilahirkan kepada warga Malaysia di luar negara untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik, tanpa mengira ibu atau bapa kepada anak berkenaan.