Luruh hati sang ibu apabila anak yang dihantar ke taska pulang dengan kesan lebam dan luka di tangan, pipi serta bawah telinga.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh ibu tersebut, El Ameerah menerusi satu perkongsian di akaun Facebook miliknya.
Mula rasa tidak sedap hati pada hari pertama, namun wanita itu tetap menghantar anaknya ke taska yang terletak di Putrajaya itu.
Pada hari ketiga, El Ameerah menerima pesanan Whatsapp dari guru taska memaklumkan anaknya telah digigit oleh kanak-kanak lain.
“Kami terus bergegas ke taska dan lihat Maryam dalam keadaan lemah sangat. Bukan tangan kiri sahaja lebam, bawah telinga, pipi, belakang tangan semua ada kesan gigitan.
“Rasa macam gelap sekejap dunia dan saya minta izin dekat guru untuk lihat tempat kejadian dan sangat terkejut dengan keadaan bilik itu,” luahnya.
Kata El Ameerah, anaknya yang berusia satu tahun itu diletakkan di dalam bilik kosong yang tidak beralas walaupun telah dibekalkan dengan selimut.

Mengejutkan, dia diberitahu bahawa ruangan itu adalah bilik ‘isolasi’ sementara buat kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun.
Namun, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati anaknya diletakkan di dalam bilik itu sejak pagi bersama empat kanak-kanak lain.
“Polis maklumkan masa teacher tinggalkan budak-budak dalam bilik tu, ada budak lain gigit dan cubit Maryam. Masa ni, Maryam kena serang 3-4 kali.” Katanya.
Tidak mendedahkan nama taska, El Ameerah berikrar untuk berjuang membela anaknya dengan mengambil tindakan undang-undang.
Baca juga: Jarang dah tengok 7 Kuih Raya Legend ini, orang-orang dulu mesti teringat