Anak ditahan polis: Mohamad Sabu serah sepenuhnya kepada pihak berkuasa

Anak ditahan polis: Mohamad Sabu serah sepenuhnya kepada pihak berkuasa

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengesahkan bahawa anak beliau Ahmad Saiful Islam telah ditahan polis dalam satu operasi di sebuah pusat hiburan di ibu negara tengah malam semalam.

Ahmad Saiful, 31 tahun ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 33 tahun apabila didapati positif dadah jenis ganja.

Susulan penahanan itu Mohamad berkata, beliau beserta keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan undang-undang.

“Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Bernama, Ops Pusat Hiburan Bersepadu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini, kira-kira 12.30 tengah malam semalam.