Anak Fadzil Noor tidak halang anjur seminar pemikiran

Anak Fadzil Noor tidak halang anjur seminar pemikiran

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, mana-mana pihak tidak dihalang untuk mengadakan seminar pemikiran berkaitan almarhum ayahnya, Ustaz Fadzil Noor yang merupakan bekas Presiden Pas (1989-2002).

“Jika ada mana-mana pihak sama ada parti politik atau NGO yang mahu mengadakan seminar pemikiran almarhum Fadzil Noor, saya dan keluarga akan bersikap terbuka untuk mengalu-ngalukan usaha tersebut.

“Seminar pemikiran almarhum Fadzil Noor boleh dianjurkan oleh mana-mana pihak memandangkan selari dengan sifat beliau yang terbuka dan seorang pemimpin yang boleh menerima kritikan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas tentang kesediaan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berdepan tindakan undang-undang oleh ahli waris Almarhum Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadzil Noor untuk menganjurkan seminar ilmu dan pemikiran politik berkaitan kedua-dua tokoh Pas itu akan datang.

Reaksi Salahuddin itu ekoran bantahan dan laporan polis oleh anggota keluarga bekas Mursyidul Am Pas terhadap penganjuran Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dijadualkan pada 9 April ini.

Faiz yang merupakan anak kelima dari lapan adik-beradik itu berkata, wacana ilmu yang membedah idea dan pemikiran almarhum ayahnya adalah satu langkah positif bagi membangkitkan kesedaran rakyat untuk memahami dan meneruskan legasi perjuangan almarhum.

“Perkara yang baik dan positif tidak perlu dihalang sama ada saman atau laporan polis kerana penyebaran ilmu itu wajib dan pahalanya tidak terputus.

“Sebagai seorang ulama dan negarawan, legasi perjuangan beliau yang berjaya menyatukan pembangkang bagi melawan rejim Umno-BN tidak harus berhenti setelah pemergian beliau.

“Sebaliknya, harus diteruskan oleh generasi terkemudian sebagai mata rantai perjuangan yang dituntut Islam,” tegas peguam itu.

‘Memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional’

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan perjuangan mantan Ketua Pembangkang di Parlimen pada 1999 itu adalah milik semua dan wajar dikongsi segenap lapisan rakyat di negara ini yang cintakan kebenaran dan keadilan. 

“Pas Kedah pernah menganjurkan seminar pemikiran almarhum Fadzil Noor dan ia mendapat sokongan keluarga. ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) pula pernah memberikan anugerah penghargaan kepada almarhum Fadzil Noor yang diterima oleh waris beliau. 

“Ingatan Presiden PKR (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) yang mengimbau perjuangan almarhum Fadzil Noor yang menyokong perjuangan reformasi adalah satu penghormatan yang tepat bagi menyedarkan rakyat pentingnya perubahan di negara ini dilakukan,” jelasnya. 

Sehubungan itu, Faiz berkata, perjuangan almarhum ayahnya yang merentasi sempadan fahaman politik akan diteruskan oleh pemimpin dan penyokong yang ikhlas memahami gagasan perjuangan beliau.

Almarhum Fadzil Noor, ujarnya, sentiasa bersikap terbuka dalam membawa Islam sebagai rahmat serta penyatu kepada golongan ulama dan profesional di bawah konsep ‘memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional’.

“Sebagai perintis kepada gabungan pembangkang melalui Barisan Alternatif (pada pilihan raya umum 1999), legasi ini akan terus diperjuangkan Amanah dalam usaha memacu tsunami penentangan rakyat terhadap pemerintahan zalim Umno-Barisan Nasional,” katanya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)