Anak gadis Rohingya dijual sebagai hamba seks di Bangladesh

Anak gadis Rohingya dijual sebagai hamba seks di Bangladesh

Anak-anak gadis dan wanita Rohingya di Bazar Cox Bangladesh dijual sebagai hamba seks, menurut mangsa dan agensi pemberi bantuan, lapor Al Jazeera.

Khartoun (bukan nama sebenar) berusia 15 tahun, memberitahu wartawan Al Jazeera bahawa beliau telah dijual sebagai hamba seks selepas beliau sampai di Bangladesh dengan bot melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.

Beliau bersendirian – ibu dan ayahnya terbunuh terkena tembakan mortar oleh tentera Myanmar dalam operasi membanteras penduduk Rohingya. Sebaik tiba di Bangladesh dalam bulan September lalu, dua orang perempuan menghampirinya di pantai dan berkata bahawa mereka akan membantu Khartoun.

“Mereka kata, jika saya ikut mereka, mereka akan jaga saya dan carikan saya suami,” kata Khartoun.

Sebaliknya, beliau telah dikurung selama tiga minggu dan dijual kepada seorang lelaki Bangladesh, yang kemudian merogol dan menderanya selama 12 hari.

“Lelaki itu kata, aku akan cekik kau, tikam kau, bunuh kau..adakah engkau ingin dibunuh seperti tentera Myanmar bunuh orang? Aku tidak akan lepaskan kau,” kata Khartoun, menurut laporan portal berita itu lagi.

PBB dan agensi pemberi bantuan yang lain berkata, aktiviti penyeludupan hamba seks di kem-kem pelarian menjadi semakin buruk apabila jumlah pelarian Rohingya di Bangladesh meningkat kepada lebih 620,000 orang.

Olivia Headon daripada Organisasi Migrasi Antarabangsa berkata, tindakan segera perlu diambil untuk menjamin keselamatan anak-anak gadis dan wanita Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Agensi pemberi bantuan tempatan yang menyingkap kisah Khartoun ini memberitahu, kakitangannya yang meniliti kegiatan penyeludupan hamba seks ini telah menerima ugutan bunuh daripada kumpulan-kumpulan jenayah.

Dalam 2014, pihak berkuasa Thailand telah membongkar jaringan kegiatan penyeludupan penduduk Rohingya, yang mengurung mereka untuk tebusan di dalam kem-kem di dalam hutan selepas menemui 36 mayat dalam kubur-kubur cetek sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Seorang General dalam tentera Thailand dan ramai lagi yang lain didapati bersalah dan dijatuhi hukuman dalam kes ini dalam bulan Julai lalu.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
Share