Anak gesa kerajaan Selangor selesaikan segera isu Kg Sg Buaya

Anak gesa kerajaan Selangor selesaikan segera isu Kg Sg Buaya

Berikutan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap masa depan generasi kedua Felda dan kesediaan untuk membantu mereka, seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu membentangkan Bajet 2018 negeri Selangor Jumaat lepas, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), mengucapkan tahniah sekali gus berharap kerajaan Selangor turut menyelesaikan segera isu Kg Sg Buaya.

“Dalam pembentangan bajet berkenaan, Menteri Besar mengumumkan bahwa PKNS akan membangunkan 136 unit rumah berkembar setingkat berkeluasan 850 kaki persegi di atas tanah seluas 17 ekar berhampiran Felda Sg Tengi Selatan.

Azmin Ali mengumumkan keprhatinan kerajaan negeri Selangor terhadap warga Felda dan kesediaan untuk membantu mereka sewaktu pembentangan Bajet 2018 negeri Selangor.

“Keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor ini, sudah tentu akan memberi kelegaan kepada generasi baru Felda yang telah lama menantikan bila projek ini akan dimulakan,” kata Presiden Anak, Mazlan Aliman dalam kenyataan medianya semalam.

Anak juga kata Mazlan, mengharapkan ia bakal menjadi perintis kepada projek berikutnya di Felda Gedangsa dan Soeharto.

Dalam masa sama, atas keprihatinan ini, Anak berharap Kerajaan Negeri Selangor segera mencari jalan menyelesaikan isu Kg Sg Buaya (dahulunya Felda) yang menjadi mangsa kegagalan Projek Bandar Baru Sg Buaya, kata Mazlan.

“Seramai 363 orang Peneroka Sg Buaya yang dijanjikan RM1.2 juta sebagai pampasan, gagal memperolehinya daripada pemaju projek, Murna Jaya Development Bhd. Difahamkan, baki pampasan yang belum dibayar adalah sebanyak RM850,000, manakala peneroka asal yang masih hidup tidak lebih 40 orang.

“Peneroka hilang tanah 10 ekar, mengakibatkan hidup mereka dihimpit kemiskinan,” katanya.

Menurut Mazlan, Isu Projek Bandar Baru Sg Buaya bermula pada zaman Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Menteri Besar Selangor, sekitar tahun 1994.

“Selain status tanah yang masih dalam kes mahkamah, terdapat sebahagiannya yang masih ada, yang seharusnya dalam pertimbangan Kerajaan Negeri, bagi kepentingan peneroka terbabit,” kata beliau.

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote