ANAK gesa MP kemuka usul tergempar siasat kerugian Felda

ANAK gesa MP kemuka usul tergempar siasat kerugian Felda

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa mana-mana ahli parlimen mengemukakan usul tergempar mengenai Felda pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Presiden Anak, Mazlan Aliman mencadangkan usul tersebut mengandungi gesaan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja(RCI) mengenai kehilangan berbilion wang felda khususnya pada zaman Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda.

Selain itu katanya, kerajaan perlu digesa menjalankan siasatan menyeluruh sebab kerugian besar Felda seperti dalam Laporan Tahunan Felda pada 2013 dan 2014 dan kajian semula kedudukan FGV dalam Bursa Malaysia yang menjejaskan kestabilan Felda ketika ini.

“Felda dibangunkan di bawah Group Settlement Act 1960(GSA) selaras dengan peruntukan di bawah Artikel 76 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah GSA, Felda bertindak sebagai Agen Pengurusan yang berkuasa di bawah Ordinan Pembangunan Tanah 1956 yang menyelenggara kebun peneroka dan diikat dengan perjanjian tertentu.

“Jika penubuhan Felda bermula di Parlimen, Anak berpandangan, parlimen jugalah medan terbaik membincangkan situasi Felda yang sedang parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun ada soalan bertulis mengenai Felda dikemukakan oleh ahli parlimen namun katanya ia tidak memadai dengan senario dan kemelut yang sedang dihadapi Felda.

“Sejumlah 1.5 juta warga Felda yang terdiri dari peneroka, generasi baharu Felda dan kakitangan Felda amat menaruh harapan kepada ahli ahli parlimen agar memainkan peranan pro-aktif khususnya sidang parlimen demi menyelamatkan sebuah institusi rakyat yang sedang terumbang ambing akibat salah urus, penyelewengan; dari dasar yang tersasar sebagaimana penubuhannya dulu,” katanya.

Felda kini dipengerusikan ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

TAGS