Anak Hamzah Zainuddin diheret ke mahkamah kemuka dokumen palsu kepada kerajaan

Oleh KIM SYAZIE

Anak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukan dokuman palsu.

Muhammad Faisal Hamzah juga berdepan dengan tuduhan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan pada tahun lalu.

Ketika kejadian, Faisal dan Azizul Abdul Halim yang berdepan dengan tuduhan yang sama merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual, minyak masak, memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Maklumat itu dikemukakan dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan.

Berada di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961, maklumat itu berhubung dengan Dokumen / Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Tertuduh juga melanggar Peraturan 9 ( 1 ) Peraturan – Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50.00 MT.

Kesalahan itu dilakukan di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd, Senawang, Seremban pada 11 Ogos 2022, jam 11.15 malam.

Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria meminta mahkamah menetapkan jumlah jaminan tinggi dengan mengambil kira sembilan pertuduhan yang disabitkan.

“Seperti semua maklum yang kerajaan amat memberi penekanan terhadap makanan seperti minyak masak yang menjadi krisis di negara kita,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan bagi setiap tertuduh RM40,000 dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 7 Jun ini.

Baca juga: Mahkamah Singapura tak benar penyerang Kamal Adli diikat jamin