Anak harap lombong bauksit disambung, tetapi dengan kawalan ketat

Anak harap lombong bauksit disambung, tetapi dengan kawalan ketat

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berharap perlombongan bauksit yang melibatkan beberapa rancangan tanah di sekitar Kuantan, Pahang akan disambung semula selepas tempoh moratorium atau penggantungan sementara berakhir April ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berharap perlombongan bauksit yang melibatkan beberapa rancangan tanah di sekitar Kuantan, Pahang akan disambung semula selepas tempoh moratorium atau penggantungan sementara berakhir April ini.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, hak golongan peneroka untuk menjana pendapatan tidak harus dinafikan ketika tanah yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit sejak kira-kira empat dekad lalu sudah terbukti kaya dengan mineral berharga pada masa ini.

“Sebelum ini, peneroka yang sudah sedia bekerja keras berdepan pelbagai masalah termasuk isu FGV (Felda Global Ventures Holdings Bhd), harga komoditi yang tidak stabil bahkan ada yang menanggung beban hutang sebanyak RM100,000.

“Jadi apabila tanah peneroka sekarang disahkan kaya dengan kandungan bauksit, inilah peluang mereka untuk membenarkan tanah masing-masing dikorek dengan pulangan yang adil dan lumayan,” ujarnya selepas mendengar sesi taklimat status terkini perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh, Kuantan petang semalam.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, pihaknya sama sekali tidak berkompromi dengan kesan pencemaran alam sekitar serta ancaman keselamatan terhadap ribuan anggota masyarakat setempat akibat aktiviti pemungggahan tanah luar kawal serta tidak mematuhi prosedur.

“Inilah kerja pihak berkuasa terbabit sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan pusat. Mereka dalam tempoh moratorium ini mesti menyediakan SOP (prosedur operasi standard) yang kemudiannya mesti dikuatkuasakan dan dipantau.

“Pengalaman kita sebelum ini dapat melihat banyak urusan dan operasi mengangkut tanah yang mengandungi bauksit sejak awal lagi dibiar kepada pengusaha atau kontraktor sehingga pemilik tanah terdedah kepada penipuan yang hanya merugikan keluarga dan waris peneroka.

“Oleh sebab itu, kita tidak mahu selepas tempoh tiga bulan moratorium ini berakhir, aktiviti melombong bauksit akan mengulang krisis alam sekitar yang sama jika diteruskan atau jangka masa penangguhan disambung lagi akibat kegagalan jabatan atau agensi kerajaan pusat dan negeri mengambil tindakan sewajarnya,” jelas Mazlan.

Mengulas taklimat anjuran Jawatankuasa Penyelaras Bertindak Bauksit Bukit Goh yang turut dihadiri pengerusinya Datuk Dr Abdul Wahid Manap yang juga seorang pemimpin Umno, beliau berkata, perbezaan fahaman politik tidak menjadi halangan dalam isu hak dan keadilan kepada rakyat.

“Hal ini demi kepentingan bersama. Kita tidak ada masalah. Apa yang penting segala kekusutan yang telah berlaku ditangani segera dalam tempoh moratorium ini. Biar perlombongan ini menyumbang pendapatan dan peluang kerja kepada anak-anak peneroka.

“Apa yang kita percaya isu utamanya ialah penguatkuasaan dan pemeliharaan alam sekitar serta keselesaan dan keselamatan masyarakat setempat yang jalan raya mereka menjadi laluan lori-lori pengangkut tanah ke pelabuhan.

“Saya percaya hal ini dapat ditangani kalau semua pihak dapat berunding secara baik. Oleh itu antara cadangan saya, Datuk Dr Wahid selepas ini boleh buat satu memorandum pada kadar segera menuntut kerajaan memaklumkan tindakan penyelesaian yang akan diambil,” tambah Mazlan lagi.

Taklimat yang disampaikan oleh Dr Sahrudin Mohd daripada jawatankuasa bertindak itu juga dihadiri Naib Pengerusi Amanah, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus; Pengerusi Biro Alam Sekitar Amanah Nasional, Zulkefly Omar serta Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaafar.

Turut hadir Setiausaha PKR Pahang, Kamaruzaman Mohd Yunus; Ketua Cawangan PAS Felda Bukit Goh, Haji Harun serta Dr Abd Rahim mewakili NGO Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF).

TAGS