Anak harap bapa ada pusara macam orang lain, ini kronologi kehilangan Sabari Baharom

Oleh MALAYSIADATELINE

Misteri kehilangan pesara pegawai kewangan Felcra iaitu Sabari Baharom akhirnya terungkai selepas dua lelaki tempatan yang disyaki membunuhnya ditahan oleh pihak polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, pesara yang berusia 62 tahun itu dikatakan dicampak dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra, Kedah.

Difahamkan, maklumat itu diperolehi pihak polis hasil daripada pengakuan suspek yang ditahan pada Jumaat lalu iaitu dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun.

Sehubungan itu, operasi pencarian Sabari dilaksanakan melibatkan Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bermula 9 pagi tadi.

Mendoakan agar urusan pencarian itu dipermudahkan, anak bongsu mangsa iaitu Muhammad Amir Hakimi berharap jasad segera dijumpai oleh pasukan penyelamat supaya dapat dikebumikan di pusara dengan sempurna, lapor Sinar Harian.

“Saya dan keluarga mengharapkan ayah ada kuburnya macam orang lain agar kami boleh ziarah nanti. Jadi walaupun cuma jasad, saya harap sangat semua pihak yang terlibat dapat mencari ayah dengan sedaya upaya mereka.

“Saya tahu mereka yang terlibat mencari ayah memang pakar dalam bidang ini. Sebab kalau saya sendiri yang nak cari memang tak mampu dan mustahil akan jumpa. Saya kini menyerahkan semua urusan selanjutnya kepada polis.

“Saya memang setuju apa yang polis buat kerana kalau tidak, memang tak dapat tahu apa sebenarnya berlaku. Mungkin ada yang menganggap polis tak buat apa-apa itu cuma tanggapan kita sebab diam sahaja tetapi rupa-rupanya polis Malaysia memang hebat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Berikut kronologi kejadian:

  • 3 September 2024

Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya yang terletak di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling di Kedah.

Kehilangannya disedari anggota keluarga selepas telefon bimbit milik Sabari gagal dihubungi sebelum mereka melakukan usaha pencarian termasuklah memohon bantuan di media sosial.

  • 4 dan 5 September 2024

Seorang wanita tempatan dilaporkan melakukan transaksi wang daripada akaun bank milik Sabari hasil daripada penelitian pihak polis melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV).

  • 20 September 2024

Anak Sabari dimaklumkan mengenai penemuan Proton Waja dipandu bapa yang ditemui oleh penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik, Kedah.

  • 24 September 2024

Polis mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 62 tahun untuk membantu siasatan berhubung kehilangan Sabari.

  • 27 September 2024

PDRM Kedah berjaya mengesan dan menangkap dua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun disyaki dapat membantu siasatan kes kehilangan pesara tersebut.

Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra Kedah dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

  • 30 September 2024

Operasi mencari jasad mangsa di Sungai Padang Terap Jitra, Kedah dijalankan oleh anggota polis, bomba dan APM melibatkan radius lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai dibuang.

  • 1 Oktober 2024

Operasi pencarian mangsa diteruskan pada hari kedua bermula jam 9 pagi dengan memperluaskan radius kepada 12.8 kilometer dari Jambatan Kampung Empa yang dipercayai lokasi jasad dibuang.

Satu lagi sektor pencarian adalah melibatkan kawasan Loji Rawatan Air Pelubang ke Tandop Chegar melibatkan radius kira-kira tujuh kilometer.

Baca juga: Naik berang ditegur pekerja restoran kerana merokok, pelanggan campak cawan kaca