Seorang pemuda berusia 20-an nekad membawa ibunya sendiri ke muka pengadilan selepas wanita berkenaan membuang 32 koleksi komik ‘Attack on Titan’ miliknya.
Tidak mampu membendung amarahnya, pemuda terbabit mendakwa komik dibuang tanpa pengetahuannya itu merupakan siri koleksi yang sudah tidak dicetakkan lagi.
Difahamkan, hubungan kedua beranak itu sememangnya sudah renggang berpunca dari tabiat sang anak yang gemar mengumpul komik ataupun ‘manga’ serta majalah.
Tindakan sang ibu dikenali sebagai Chien yang membuang bahan bacaan itu malah mengeruhkan keadaan hingga pemuda terbabit nekad mengambil tindakan undang-undang.
Menurut Chien, rumah mereka sudah tiada ruang untuk menyimpan semua koleksi anaknya dan komik tersebut dibuang kerana sudah berkulat akibat dari kelembapan udara.
Chien yang merasa menyesal itu meminta untuk kes diselesaikan di luar mahkamah namun wanita terbabit tidak menghadirkan diri apabila dipanggil bagi memberi kenyataan.
Memandangkan anak lelakinya enggan berdamai, Chien terpaksa berdepan dengan pertuduhan pencerobohan hak milik peribadi di Mahkamah Daerah Chiayi, Taiwan di mana lokasi kejadian berlaku, lapor Taipei Times.
Walaupun hubungan kedua-dua plaintif dan defendan adalah ibu dan anak lelaki, namun pihak mahkamah memutuskan bahawa Chien seharusnya menghormati hak pemuda terbabit ke atas harta peribadinya.
Oleh yang demikian, mahkamah menjatuhkan hukuman denda ganti rugi bernilai NT$5,000 (kira-kira RM657.01) terhadap Chien kerana nilai harta yang dilupuskan itu tidak terlalu tinggi.
Denda yang dikenakan itu juga tidak bersifat muktamad di mana ia boleh ditukarkan kepada kerja komuniti sahaja sekiranya Chien memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.
Segelintir pembaca artikel ini pasti pernah mengalami kejadian sama di mana komik kesayangan anda dibuang kan? Apa perasaan anda?
Baca juga: Kurangkan pengunaan gajet, lelaki cipta hampir 300 mainan demi anak perempuan