Malaysia Dateline

Anak imam, guru berbuka puasa di rumah abang dan bertarawih di masjid cetus kluster baharu di Sabah

Seorang guru dan anak imam mencetuskan dua kluster Covid-19 berkaitan jangkitan komuniti di Sabah semalam, masing-masing dilaporkan di Tawau dan Kunak.

Kluster Jalan Imam Jalilul di Tawau, terjadi selepas seorang guru lelaki berusia 41 tahun disahkan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala pada 7 Mei lalu.

Satu lagi ialah Kluster Sungai Langgas di Kunak yang dikesan selepas anak perempuan seorang imam berusia 21 tahun di Kampung Langgas, Kunak didapati positif juga melalui saringan bergejala pada 4 Mei lalu.

Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun, berkata kes indeks Kluster Jalan Imam Jalilul yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Tawau dipercayai dijangkiti ketika berbuka puasa di rumah abangnya di Jalan Imam Jalilul, Tanjung Batu Darat, pada 2 Mei lalu.

Berikutan itu, katanya, seramai 32 kontak rapat kepada guru terbabit disaring dan 10 didapati positif, termasuk dua kes di kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih, di mana kes indeks itu tinggal.

“Enam kes lagi dikesan di Kampung Tanjung Batu Darat dan dua kes di Taman Semarak, Tawau, menjadikan jumlah terkini bagi kluster ini sebanyak 11 kes.

“Selain berbuka puasa di rumah abangnya, kes indeks turut dipercayai dijangkiti ketika mengikuti solat sunat terawih sepanjang Ramadan lalu di Masjid Jideen berdekatan Tanjung Batu Darat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata, kes indeks bagi Kluster Sungai Langgas di Kunak, dipercayai mendapat jangkitan daripada ayahnya yang juga imam di Masjid Al-Mansa, Kampung Langgas.

Katanya, saringan kontak rapat yang dilakukan bermula 5 Mei hingga 11 Mei lalu mengesan 18 lagi kes positif termasuk dua kes di Fever Center, Hospital Kunak, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 19 kes.

Semalam, Sabah merekodkan lagi 60 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 59,409 kes sekali gus kedua tertinggi di negara ini selepas Selangor.

Terdapat satu kematian di Keningau semalam, manakala 104 pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan baki yang masih dirawat di Sabah seramai 530 orang.