Malaysia Dateline

Anak kemuka cadangan untuk dimasukkan dalam manifesto PH

Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, badan bukan kerajaan (NGO) tersebut telah membuat beberapa cadangan untuk dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Ia adalah intisari kepada program Kenduri Rakyat yang diadakan di Felda Raja Alias 6 di Negeri Sembilan malam tadi, kata beliau dalam satu kenyataan.

Mazlan Aliman dalam program Kenduri Rakyat yang diadakan di Felda Raja Alias 6 di Negeri Sembilan malam tadi.

Antara cadangan tersebut katanya ialah:

Pertama, Anak mencadangkan 50 peratus hutang peneroka dimansuhkan atau dilupuskan. Faedah atas pinjaman sara hidup sebanyak 6.25 peratus juga perlu dihapuskan.

Kedua, terma-terma bayaran dan potongan yang dikenakan dalam Penyata Tanam Semula disemak semula. Ia bagi memastikan hanya jumlah sebenar potongan dilakukan.

Kata Mazlan, Anak berkeyakinan, jika insentif ini dilakukan, hutang dan pinjaman peneroka Felda dapat diselesaikan dalam tempoh lebih singkat (tidak melebihi 10 tahun).

“Ia sekali gus akan meringankan beban peneroka yang amat tertekan pada ketika ini,” kata beliau.