Anak Ketua Polis Daerah Lahad Datu maut terkena tembakan, bapa baru dilantik 1 April lalu

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah Lahad Datu yang baru dilantik pada 1 April lalu ditemui maut di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu, semalam.

Mangsa berusia 14 tahun itu dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja dengan mengggunakan pistol milik bapanya di sebuah bilik dalam rumah berkenaan.

Ketika kejadian sekitar jam 12.42 tengah hari itu berlaku, Ketua Polis Daerah Lahad Datu iaitu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berada di pejabatnya di Kinabatangan.

Dzulbaharin dikatakan tertinggal pistol di rumah sebelum anak gadisnya dipercayai memegang senjata api tersebut dan secara tidak sengaja telah tertembak dirinya sendiri.

Insiden mengejutkan itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan, lapor Berita Harian.

Menurut Razarudin, kakak mangsa berusia 16 tahun adalah satu-satunya individu yang menemui mangsa berada dalam keadaan berlumuran darah di tempat kejadian.

“Polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Kakak mangsa adalah satu-satunya individu yang menemui adiknya terbaring di dalam bilik berkenaan selepas pulang dari sekolah.

“Ketika kejadian, bapa mangsa pula berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Proses bedah siasat difahamkan mula dijalankan ke atas mangsa pada jam 9 pagi tadi dan pihak polis kini sedang mengumpul semua saksi untuk dirakam keterangan.

Razarudin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut selagi siasatan belum dilengkapkan oleh pihak berkuasa.

Dzulbaharin dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Lahad Datu pada 1 April lalu menggantikan Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad yang menyandang jawatan itu sejak November 2020.

Baca juga: Video Cik B ‘review’ bilik hotel di Makkah ditonton 300 ribu kali, harga satu bilik je cecah ratusan ribu ringgit