“Anak langsung tak dengar cakap, suami pula rela gaduh dengan aku ‘back-up’ mereka”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mula merasa keliru dengan tindakannya memarahi anak ekoran suami enggan menyebelahinya dan menganggap semua kesalahan mereka kecil sahaja.

Tidak menafikan adakala dirinya agak berlebihan, wanita berkenaan turut mengakui merasa khuatir dengan masa depan anak-anak andaikata nafsu amarah menguasai diri.

Berikut perkongsian wanita yang sangat bimbang jikalau anak-anaknya membesar menjadi manusia tidak beradap kelak sekiranya mereka masih enggan menerima teguran.

“Aku isteri dan mak yang derhaka. Setiap hari penuh baran dalam diriku. Marah yang tak sudah. Aku marah anak. Kemudian suami marah aku pula sebab marahkan mereka. Aku tulis perkongsian ini juga sebab marah dekat suami. Habis itu nak buat apa lagi? Diam atau makan hati sahaja. Sedih tak boleh, penat dan marah juga tak boleh? 

“Tak akan aku nak jadi robot? Tak mahu anak besar kepala suatu hari nanti. Aku ini bukan nak buat mereka takut. Tetapi cuma mahu ada rasa hormat dalam dirinya. Anak akan hilang hormat ke kalau mak selalu marah? Sekarang pun macam sudah tak ‘lut’. Menganjing aku lagi ada. Benci jugalah macam ini. Adab mana adab?

“Hidup ini kalau nak pergi jauh kena ada adab. Kalau bukan aku yang nak ajar, siapa lagi? Berita tentang anak membunuh mak sangat menggganggu jiwa aku. Ujian anak sungguh membebankan. Tanggungjawab yang berat. Kalau mereka buat kesalahan, selalu mak yang dipersalahkan sebab tak pandai didik kan? Aku takut.

“Sungguh aku takut. Suami aku cakap anak itu kecil lagi. Namun bagi aku, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kalau tak tegur dari kecil, takut bila besar makin menjadi-jadi. Makin keras kepala. Aku tak nak anak jadi terlalu manja dan tak pandai berdikari. Suami kata aku asyik marah mengenai perkara kecil. Iyalah.

“Masalahnya, perkara kecillah yang buat aku angin. Anak itu mengamuk tak sudah, buat perangai. Conteng dinding dan pecahkan lego aku. Anak juga koyak buku aku, macam sengaja buat aku marah. Anak punya tangisan juga buatkan aku rasa bingit sungguh. Nyaring. Daripada bayi sampai sudah sekolah tak berhenti dia menangis.

“Mengada! Nak air kena sejuk. Makan tak boleh pedas sikit, nanti menangis. Biskut patah, menangis. Pintu kereta tak boleh buka, menangis. Tak kena sedikitlah dengan kehendak, dia akan menangis. Aku tak tahulah jika emosi anak yang terlalu sensitif. Aku penat, tertekan, serabut dan bosan nak teruskan hidup. Penuh dosa.

“Dosa dengan suami dan anak. Dosa dengan Allah dan manusia. Rasa hidup ini tak berkat. Sia-sia sahaja umur yang berlalu. Baik mati sahajalah. Aku adalah bercakap dengan suami mengenai hal ini. Dia tak faham pun. Tak akui pun apa yang aku rasa. Asyik menafikan. Katanya aku yang asyik negatif. Kalau fikir penat, dia lagi penat. 

“Adakah memang salah aku? Patutkan aku rasa macam ini? Aku benci hidup, benci diri sendiri yang tak pandai buat apa ini. Aku sayang anak-anak. Aku yang hamilkan, melahirkan dan menyusukan selama dua tahun. Mungkin aku penat sangat. Kadang-kadang rasa geram dan benci. Aku tak nak hidup untuk mereka sahaja.

“Sebabnya aku pentingkan diri sendiri. Tetapi aku tak boleh bayang kehidupan tanpa mereka, walaupun banyak kali rasa nak lari rumah. Mereka mampu sahaja bertahan hidup tanpa aku. Mungkin aku yang tak boleh bertahan hidup tanpa mereka. Suami dan anak-anak, Allah yang pilih dan tentukan. Aku rasa tak layak untuk keluarga.

“Patutnya suami aku dapat isteri yang lebih baik lagi. Isteri yang jaranglah merungut, sentiasa bersyukur, pandai masak dan selalu sabarlah melayan kerenah anak. Bukan macam aku ini. Anak aku juga patut mendapat ibu yang penyayang. Bukan aku yang agresif dan pendera ini. Doakan aku dapat lawan nafsu amarah dan jiwa yang sakit.

“Semoga aku mampu melawan minda yang gila dan nafsu yang baran ini. Aku orang ‘selfish’ yang ‘selfless’. Rela keluarga bahagia tanpa aku. Daripada aku ada, namun mereka menderita. Segala yang aku sayang pergi. Segala yang aku sentuh musnah. Aku takut dengan diri. Benci dan jijik.” Katanya menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Bekas isteri suka perhatian, dia siap ‘approach’ lelaki lain, aku bersyukur aku pilih wanita tepat untuk kahwin kali kedua”