ANAK meterai MoU dengan NGO Ezam perangi rasuah Felda

ANAK meterai MoU dengan NGO Ezam perangi rasuah Felda

Ezam menandatangani perjanjian  persefahaman dengan Anak mengenai usaha memerangi rasuah Felda sambil diperhatikan Mazlan dan pimpinan utama Amanah

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Hisbah Centre for Reform (Hisbah) yang diketuai Datuk Ezam Md Nor dalam usaha memerangi rasuah di Felda.

Majlis tandatangan diadakan di Wisma Parti Amanah Negara (Amanah) dengan disaksikan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Hisbah ditubuhkan hampir dua tahun lalu dengan memberi fokus kepda usaha membongkar isu-isu rasuah.

Menurut Mazlan yang juga ahli jawatankuasa Amanah Nasional, Anak akan memulakan kempen memerangi rasuah di kawasan Parlimen Pekan iaitu kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pelancarannya dijangkakan pada 21 Mei ini.

Bagaimanapun ia bergantung kepada kesediaan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pihaknya ingin Mahathir turut bersama.

“Kami memilih Pekan kerana perdana menteri adalah orang yang bertanggungjawab terhadap perjalanan Felda. Jadi beliau kena buktikan komitmen beliau dan kami akan teruskan di kawasan Felda yang lain.

“Anak simpan maklumat mengenai rasuah di Felda yang akan didedahkan secara berperingkat-peringkat. Amanah sangat konsisten memerangi rasuah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Ezam berkata beliau bersedia bekerjasama dengan Anak kerana yakin dengan perjuangan Anak khususnya Mazlan yang bersungguh-sungguh mendedahkan salah guna kuasa dan rasuah di Felda.

“Banyak kes rasuah ada dalam Felda. Sebab itu kita pilih Felda. Kita pilih Pekan kerana perdana menteri menggunakan Felda sebagai jentera utama beliau dalam pilihan raya.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Amanah keran menjadi saksi pemeteraian MoU ini. Saya nampak Amanah sangat konsisten dalam agenda meerangi rasuah,” katanya yang hadir bersama Datuk Khairuddin Abu Hassan yang mewakili NGO Deklarasi Rakyat.

Sidang media turut dihadiri Naib Presiden Amanah Dr Hassan Baharom, Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir,  Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Bendahari Asmuni Awi. 

NGO Anak dan Hisbah akan bergabung membongkar gejala rasuah di Felda yang menjadi aset penting Umno BN dalam memenangi undi orang Melayu

 

COMMENTS

Wordpress (0)