Anak muda anjur Himpunan ‘Tangkap MO1’ 13 Ogos di Bandar Baru Uda, Johor Baharu

Anak muda anjur Himpunan ‘Tangkap MO1’ 13 Ogos di Bandar Baru Uda, Johor Baharu

Gerakan Tangkap “Malaysia Official 1” peringkat negeri Johor akan menggerakkan satu himpunan pada 13 Ogos 2016 (813) bertempat di no 14, Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda, Johor Bharu jam 4.00 petang.

Jurucakap kumpulan itu, Shake Omar Ali berkata program ini mengambil maklum himpunan #TangkapMO1 yang sedang disusun oleh anak muda dan mahasiswa pada 27 Ogos 2016 (827) nanti di Kuala Lumpur.

“Himpunan ini mensasarkan penglibatan bangsa Johor khasnya tanpa mengira fahaman politik, ideologi, warna kulit mahupun agama sebelum ke himpunan 827 Kuala Lumpur nanti.

“Kami yakin bahawa usaha ini merupakan langkah paling patriotik buat masa ini demi menyelamatkan Malaysia khususnya menjelang sambutan hari Kemerdekaan tanah air,” katanya.

Menurutnya, himpunan itu bertujuan menuntut agar disiasat segera individu disebalik gelaran ‘Malaysian Official 1’, tangkap dan hadapkan individu tersebut ke muka pengadilan.

“Kerajaan juga perlu bebaskan institusi awam seperti PDRM dan SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa campur tangan pihak-pihak berkepentingan,” katanya.

20 Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memulakan saman sivil untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Dokumen saman itu menyebut lebih dari AS$3.5 bilion dana milik 1MDB dikatakan diseleweng oleh pegawai-pegawai tinggi dan sekutu-sekutu mereka.

“Rakyat Malaysia ditipu pada skala besar dalam satu skim penipuan yang dianggap terbesar didunia.

“Konspirator yang dinamakan oleh DOJ ialah Riza Aziz (anak tiri PM Najib Razak), Jho Low, Eric Tan, Khadem Abdulla al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny.

Antara konspirator yang tidak dinamakan dalam dokumen saman DOJ setebal 136 muka ialah ‘Malaysian Official 1’ yang disebut 36 kali,” laporan itu dipetik.

Malaysia Official 1 menurut dokumen itu digambarkan sebagai seseorang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia.

“Mempunyai kaitan keluarga dengan Riza Aziz.

“Mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan dan pemindahan Lembaga Pengarah 1MDB dan Pengurusan Kanan 1MDB.

“Akaun AmPrivate Bankingnya menerima bayaran berjumlah kira-kira AS$681 juta pada Mac 2013,,” perinci laporan berkenaan.

Bagi Shake Omar, rakyat Malaysia adalah mangsa yang akan menerima kesan paling buruk akibat skandal 1MDB.

“Dalam masa sama, anak muda yang mewakili 60% dari rakyat Malaysia merupakan generasi pelapis negara yang juga bakal berhadapan masa depan yang gelap akibat skandal melibatkan MO1 ini,” katanya.

TAGS