Anak muda baca “kitab yang betul”, tolak kerajaan kleptokrat selamatkan negara

Anak muda baca “kitab yang betul”, tolak kerajaan kleptokrat selamatkan negara

Ketua Menteri Melaka, Haji Adly Zahari berkata, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, anak muda Malaysia memang menolak rasuah dan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional (BN).

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu, sifat itu telah menyelamatkan negara kerana tanpa kesedaran daripada anak muda, wang negara akan terus dicuri, negara tiada maruah.

“Bagi pencuri dan sekutunya, itu adalah tragedi. Tragedi paling besar adalah pencuri dihadapkan ke mahkamah dan bakal diikuti dengan sekutunya.

“Di Melaka, Perdana Menteri menyatakan, kalau mahu ditangkap pencuri terlalu ramai, tiada pegawai yang mencukupi menguruskan tangkapan dan pendakwaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Adly, beliau bangga dengan anak muda Malaysia dan mereka telah membaca “kitab yang betul”.

“Cuma saya mushkil, kitab mana yang membenarkan kleptokrat itu disokong dan piagam dibentuk di atas prinsip “malu apa bossku”?” soal beliau.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata bahawa anak muda ‘tidak mengaji kitab”, yakni tidak mempunyai ilmu secukupnya dalam membuat pemilihan pada PRU14 lalu.

Kata Hadi, anak muda telah membuat kesilapan membantu menumbang kerajaan BN dan mengundang mudarat yang lebih besar dengan tertubuhnya kerajaan PH.