Malaysia Dateline

Anak muda benteng kemerdekaan, kedaulatan Malaysia

Presiden Pertama Indonesia Sukarno ada menyebut “Perjuanganku lebih mudah kerana melawan penjajah, namun perjuangan kalian lebih sulit kerana melawan bangsa sendiri”.

Kata-kata keramat ini membawa erti bahawa kemerdekaan yang dikecapi itu lebih sukar dipertahankan jika rakyat tidak menjiwai dan menghargai kemerdekaan dengan gagal meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik dan peribadi.

Apakah ertinya merdeka jika kebebasan rakyat masih disekat dan kekayaan negara tidak diagihkan secara adil. Walaupun sudah 63 tahun bebas daripada cengkaman penjajah, namun masih ada lagi rakyat yang hidup kais pagi makan pagi dan tidur malam beralaskan kotak.

Walaupun negara semakin maju, namun sosio-ekonomi rakyat tidak terbela. Pemimpin negara pula dibiarkan bebas tanpa kedaulatan undang-undang yang adil. Kesucian demokrasi pula dirobek oleh pengkhianatan kudeta yang tidak menghormati mandat rakyat.

Sungguhpun lebih enam dekad Malaysia telah mencapai kemerdekaan, namun struktur asas pembinaan negara ini semakin gagal difahami oleh sesetengah pihak demi kepentingan politik.

Walaupun negara ini terbina atas kemajmukan kaum dan berbeza anutan agama, namun kontrak sosial diikat melalui Perlembagaan Persekutuan. Kefahaman yang jitu kepada struktur asas Perlembagaan Persekutuan mampu memastikan kelestarian perpaduan kaum.

Agama Islam diakui agama rasmi, tetapi agama lain bebas diamalkan. Kaum Melayu dan Bumiputera diberikan hak keistimewaan tertentu, tetapi kaum lain juga mempunyai hak yang saksama sebagai warganegara.

Kesepaduan rakyat negara ini diperkukuhkan lagi melalui Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan yang meletakkan kepentingan lima prinsip asas untuk diamalkan oleh setiap warganegara.

Kemerdekaan negara ini semakin tercabar akibat kegagalan tadbir urus, ketidakstabilan politik akibat perebutan kuasa elit politik, kelemahan kewangan akibat penyelewengan sehingga mewujudkan pemerintahan kleptokrasi dan perpaduan kaum yang digugat dengan sentimen kebencian demi tujuan politik.

Usahlah malapetaka ini diulangi generasi muda negara ini. Anak muda adalah benteng kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia dan harus mempunyai cita-cita yang murni dan tulus membangunkan negara ini berteraskan kepada politik nilai, prinsip demokrasi dan tadbir urus baik.

Keadilan sosial harus diberikan keutamaan dasar ekonomi negara bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan negara dinikmati bersama setiap rakyat.

Perpaduan kaum harus dijadikan asas pembinaan negara bangsa yang harmoni, makmur, demokratik, maju dan berdaya saing.

Sepertimana kata-kata ahli falsafah Perancis Albert Camus “Freedom is nothing else, but a chance to do better”.

Selamat Menyambut Hari Merdeka Ke-63.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

 

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.