Malaysia Dateline

Anak muda bosan politik haru biru kembali ke muka Umno, kata DAP

Kenyataan bahawa anak muda bosan dengan politik haru biru serta perkauman dan agama sebenarnya kembali ke muka Umno sendiri, kata Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Howard Lee.

Kata Howard, kenyataan Ketua Pemuda UMNO bahawa anak muda di negara ini bosan dengan poilitik haru-biru serta perkauman dan agama sebenarnya amat tepat.

“Hanya saya ingin bertanya kembali kepada Pemuda UMNO, bukankah pendirian Asyraf bagaikan talam bermuka dua, kepala yu berekor pari? ” kata Howard dalam satu kenyataannya.

Bagi beliau kenyataan itu sedap didengar khasnya apabila pemuda Umno menyatakan supaya mengembalikan nilai-nilai yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang harmoni.

“Malangnya selama ini, hakikatnya Umno hanya mampu mempamerkan sikap bak kata pepatah telunjuk lurus kelingking berkait,” kata beliau.

Howard bertanya kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki tentang perkara berkenaan

Pertamanya, kata Howard, Asyraf sendiri pernah memfitnah pemimpin DAP, dengan dakwaan beliau anak saudara Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, dengan niat mengapai-apikan sentimen perkauman.

“Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?” tanya beliau tentang dakwaan yang dikemukakan kepada Lim Kit Siang.

Katanya lagi, Asyraf sendiri juga telah menggunakan fitnah berbaur perkauman berkenaan Isu Tabung Haji sewaktu pembangkang, dengan mengaitkan penjualan aset Tabung Haji dengan pertukaran pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang merupakan bukan Islam.

“Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?” tanya Howard lagi.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Pemuda Umno bawah pimpinan beliau sendiri, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo pernah menjanjikan sekiranya ‘Penyatuan ummah’ berlaku, kerajaan akan cabut hak mengundi warganegara berketurunan India dan Cina.

“Ini bukan politik perkauman dan huru-hara?” tanya bekas Exco kerajaan negeri Perak itu lagi.

Katanya Ahli Parlimen Umno dari kawasan Baling baru-baru ini telah lontarkan kata-kata yang jelas menunjukkan sifat perkauman terhadap rakan sedewan beliau.

“Walaupun telah mohon maaf secara kata-kata, tetapi tetap mengulangi kata-kata melalui gambar di media sosialnya.

“Ini bukan politik mengundang huru-hara?” katanya.

Pemimpin bawahan parti beliau, kata Howard lagi, Azwanddin Hamzah terpaksa membuat permohonan maaf kepada pemimpin DAP kerana menuduhnya memakai “seragam komunis” sedangkan baju tersebut merupakan korporat bush jacket yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

Anggota Majlis Kerja tertinggi parti beliau, Ahli Parlimen kawasan Pasir Salak telah membuat tohmahan liar, kesat dan perkauman berkenaan calitan abu di dahi ahli parlimen beragama hindu dengan menyamakan simbol keagamaan tersebut dengan calitan abu mayat Chin Peng.

Katanya lagi, Anggota Majlis Kerja tertinggi parti beliau, Ahli Parlimen kawasan Bera pernah menghasut warga keturunan Melayu untuk boikot kedai milik warganegara keturunan cina, dengan merujuk kepada fitnah, iaitu tohmahan Old Town White Coffee dimiliki pemimpin anti Islam yang menghidangkan makanan yang diragui halal-haramnya.

“Ini bukan politik mengundang huru hara?” soalnya lagi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada beliau kerana dapat menangkap serba sedikit rintihan anak muda di bawah sini. Nasihat saya dan DAPSY kepada beliau ialah, jangan longgar sendat, lapang bertukul. Mengaku lah kesilapan-kesilapan lampau parti beliau,” kata Howard.