Malaysia Dateline

Anak muda desak Muhyiddin kotakan janji laksana Undi 18

Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 hari ini mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan penurunan umur mengundi Malaysia mengikut garis masa yang telah dijanjikan sebelum ini.

Ini kerana katanya, Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh yang turut mengundi sewaktu meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat sebelum ini.

Anak muda berhimpun di hadapan Parlimen hari ini bagi mendesak kerajaan laksana Undi 18

 

 

Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 adalah Jawatankuasa ad-hoc yang ditubuhkan oleh gabungan gerakan anak muda sebagai reaksi segera membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Persekutuan yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18 ke September 2022.

Sekretariat ini juga menuntut agar pihak SPR dan Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan Undi 18 selewat-lewatnya bulan Julai 2021 dan mewujudkan ketelusan dalam proses pelaksanaan pendaftaran pengundian secara automatik.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut hadir memberi sokongan tuntutan anak muda

Selain itu, mereka mendesak kerajaan turut menamatkan perintah Darurat dan membenarkan Parlimen untuk bersidang semula.

Penangguhan selama lebih 15 bulan ini bagi mereka adalah mengarut dan tidak mencerminkan kesungguhan pihak berwajib untuk memberikan hak mengundi kepada anak muda yang mencapai berumur 18 tahun.

“Rakyat Malaysia, khususnya anak muda membantah keputusan ini sekeras-kerasnya kerana hak setiap dewasa untuk mengundi dalam pilihan raya adalah hak asasi dalam mana-mana demokrasi dalam dunia ini,” katanya dalam kenyataan.

Salah seorang wakil mahasiswa melaungkan ‘Tuntut Undi 18’

Mereka turut mempersoalkan kenapa SPR seolah-olah dihalang daripada melaksanakan Undi 18 sekali gus menghalang mereka selaku anak muda yang mahu membentuk masa depan negara.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan pintu masuk Parlimen hari ini adalah respon awal anak muda kepada keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak serius untuk melaksanakan Undi 18.

Mana undi kami, kerajaan PNipu, kembalikan hak mengundi anak muda, antara sepanduk yang dibawa ketika berhimpun

Pada semalam, keputusan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 mencetus kemarahan dan kecaman pelbagai pihak yang beranggapan alasan kepada tindakan tersebut sebagai tidak masuk akal.