Jadikan Mac bulan daftar pemilih untuk ubah pemerintahan negara

Jadikan Mac bulan daftar pemilih untuk ubah pemerintahan negara

Anak muda diseru mendaftar diri sebagai pengundi bagi melakukan perubahan politik pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, sayap pemuda Amanah, Keadilan, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak menyokong penuh kempen ‘Bulan Mac Bulan Daftar Mengundi” anjuran Bersih 2.0.

“Diharap kempen ini dapat disemarakkan lagi oleh semua pihak bagi memberi kesedaran kepada golongan muda agar mendaftar sebagai pengundi,” ujar kenyataan media yang dikeluarkan bersama Ketua Pemuda Amanah Perak Hasnul Zulkarnain, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak Tan Kar Hing, Exco Pemuda DAP (Dapsy) Negeri Perak Dan Adriel dan Ketua Penyelas Pemuda PPBM (Armada) Negeri Perak Mubin Salleh.

Mereka turut mengadakan ‘flash mob’ di Pejabat Pos Besar Ipoh pagi tadi bagi menarik minat golongan muda mendaftar sebagai pemilih.

“Suasana politik dan pemerintahan negara ketika ini menuntut kepada satu perubahan besar tampuk pemerintahan negara. Kebejatan ekonomi angkara urus tadbir yang lemah dan tidak amanah telah membawa Malaysia ke satu tahap yang mencemaskan.

“Golongan muda adalah penentu kepada pemerintahan negara, sekiranya sokongan orang muda menyebelahi pembangkang maka usaha untuk mengubah pemerintahan negara yang telah berpuluh tahun dicengkam oleh BN akan dapat direalisasikan,” kenyataan media itu dipetik.

Mereka yakin hasrat dan aspirasi rakyat untuk melakukan perubahan akan ‘terkandas’ sekiranya golongan muda tidak mendaftar sebagai pengundi.

Oleh itu Pemuda Pakatan Harapan + Armada PPBM Perak mengajak seluruh anak muda yang berumur 21 tahun ke atas agar segera mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih.

“Kami juga mengajak rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang berada di luar negara agar segera pulang mendaftar undi seterusnya menunaikan tanggungnyawab anda pada pilihan raya yang akan datang. Walau satu undi, ia adalah sangat berharga kepada negara!” tegas kenyataan itu.

TAGS