Anak muda harus teladani sifat murni Dr Amalina, kata Ketua Pemuda AMANAH Perak

Anak muda harus teladani sifat murni Dr Amalina, kata Ketua Pemuda AMANAH Perak

Kejayaan pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri membuang ketumbuhan di mulut Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi berusia sembilan bulan menjadi kebanggaan rakyat di negara ini.

Susulan kejayaan doktor muda dari Malaysia itu, Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menyifatkan semangat dan kesungguhannya untuk membantu orang yang dalam kesulitan, seharusnya menjadi contoh kepada anak muda di negara ini.

Katanya, sifat pakar bedah itulah yang sebenarnya menjadi harapan kepada generasi muda Malaysia pada masa hadapan.

“Bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, malah sedia berkorban untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.

“Dr Amalina telah membuktikan dengan sikap ingin menolong, semua cabaran dapat diharungi jika usaha dan ikhtiar dibuat dengan sepenuh daya, demi mencari jalan penyelesaian.

“Di sebalik kejayaan pembedahan yang memakan masa kira-kira 5 jam itu, nama Dr Nur Amalina Che Bakri adalah antara watak penting yang memberi harapan kepada usaha murni ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hasnul turut merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Amalina yang mengambil inisiatif berhubung secara langsung dengan ibu adik Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi ketika mereka menghadapi masalah untuk memberi rawatan terbaik kepada adik Ainul.

“Bermula dengan berhubung melalui media sosial antara Dr Amalina dan ibu kepada adik Ainul Mardhiah, saya lihat semua urusan dapat dijalankan dengan baik.

“Sehinggalah pada hari ini, kita dimaklumkan bahawa pembedahan yang diketuai oleh Prof David Dunway dan Mr Juling Ong telah berjaya dikendalikan, meskipun pembedahan itu merupakan pembedahan yang berisiko tinggi.

“Pemuda AMANAH Perak sekali lagi, mengucapkan tahniah kepada pasukan doktor yang terlibat dalam pembedahan ini, khususnya Dr Amalina yang selayaknya menjadi contoh tauladan kepada anak muda Malaysia.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar adik Ainul Mardhiah segera sembuh dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain selepas menjalani pembedahan ini,” katanya lagi.

Kelmarin, adik Ainul yang mengidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani pembedahan selama 5 jam di London bagi mengeluarkan tumor seberat 200 gram.

Difahamkan, Ainul telah berada di London sejak beberapa minggu lalu bagi menjalani rawatan penyakit yang dihidapinya.