
Anak muda harus tolak ‘kitab perkauman’ Pas, kata Pemuda AMANAH
Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa 30 peratus anak muda yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu tidak mengaji kitab adalah suatu kenyataan yang begitu naif dan penghinaan kepada tahap intelektual anak muda negara ini, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.
Beliau berkata, sikap Pas seolah-olah tidak mengiktiraf kebijaksanaan dan kematangan amalan demokrasi anak muda negara ini yang melakukan revolusi menjatuhkan regim Barisan Nasional (BN) tanpa pertumpahan darah sepertimana yang pernah berlaku di
Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran.
Malah ujarnya, antara isu utama yang mendorong anak muda bangkit membuat perubahan dalam PRU yang lalu adalah kerana jijik dengan amalan korupsi dan salah tadbir urus kerajaan kleptokrasi BN sehingga menyebabkan krisis ekonomi yang menjerut kehidupan anak
muda terutamanya kenaikan kos sara hidup.
“Keberanian anak muda membuat perubahan menunjukkan tahap intelektual yang tinggi dikalangan pelapis negara yang mahu menyelamatkan negara daripada cengkaman kezaliman BN.
“Sebaliknya kemajuan sesebuah negara perlu diasaskan oleh tadbir urus yang baik dan keadilan sosial serta ekonomi.
“Negara ini yang berlatarbelakangkan masyarakat majmuk amat memerlukan apa sahaja dasar pentadbiran dan model ekonomi yang dirangka kerajaan hendaklah diatas premis keadilan kepada semua golongan masyarakat,” tegasnya yang juga merupakan Adun Permatang Pasir.
Kata Faiz lagi, setiap anak muda negara ini berhak untuk diberikan peluang pendidikan, pekerjaan, perumahan dan kualiti hidup yang adil tanpa mengira latar belakang kaum dan juga agama.
Justeru itu jelasnya, kitab perkauman yang dibawa oleh Pas hendaklah ditolak habis-habisan oleh anak muda dalam negara ini.
“Sentimen perkauman yang sedang dicanang Pas dan sekutu baharunya Umno, akan membangkitkan kebencian kaum yang lebih kronik dan boleh mengancam keharmonian kaum serta kemakmuran negara yang sedang dibina oleh kerajaan kini.
“Piagam kerjasama Pas-Umno yang bakal dibentuk tidak lama lagi tidak berpremiskan kepada agenda ekonomi rakyat, sebaliknya agenda perkauman dan kebencian yang tidak memberikan manfaat kepada negara maupun masa depan generasi muda.
“Rentetan itu, penolakan terhadap Pas-Umno adalah suatu tindakan yang bijak demi kebaikan anak muda dan juga masa depan negara ini, ” tambah beliau lagi.