Malaysia Dateline

Anak muda kecewa tiada pengecualian faedah pinjaman isi rumah kurang RM5,880

Anak muda bertambah kecewa apabila 12 cadangan belanjawan yang telah dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang sangat baik untuk Anak Muda hanya 30 peratus sahaja yang dilaksanakan pada Belanjawan 2022 kali ini dan selebihnya diabaikan, demikian menurut Pemuda AMANAH Nasional.

Ketuanya Hasbi Muda berkata, antara cadangan cukup penting bagi anak muda ialah pelaksanaan pengecualian faedah pinjaman kepada golongan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM5,880 sebulan, seperti yang dinyatakan dalam artikel 1.7 Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

Katanya, cadangan ini jelas untuk menyelamatkan generasi muda yang terbeban dengan faedah pinjaman yang bertambah kerana pengambilan moratorium pinjaman dalam situasi mendesak pada hari ini.

Tambah beliau, belanjawan kali ini juga tidak realisitik kepada realiti semasa dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa apabila Menteri Kewangan membentangkan bahawa kelayakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dihadkan kepada RM1,169 sebulan.

Sedangkan katanya Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam Dewan Rakyat telah menyebut bahawa PGK yang akan digunapakai pada tahun 2022 adalah pada paras RM 2,208 sebulan.

“Lebih parah lagi ialah tiada usaha atau perancangan kerajaan untuk meningkatkan paras gaji minimum yang pada kali terakhir telah dinaikkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sehingga mencecah RM1,200 pada hari ni.

Pemuda AMANAH berharap kritikan dan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan Belanjawan 2022 akan diteliti dan diambil perhatian oleh Ahli-ahli Parlimen agar dapat direalisasikan demi rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara.

Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada hari Jumaat yang lalu adalah belanjawan pemulihan ekonomi dan juga belanjawan terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM 332.1 billion.