Anak muda PH, warga emas BN ‘bersilat’ di Semenyih

Anak muda PH, warga emas BN ‘bersilat’ di Semenyih

Aiman menggalas tugas mempertahankan kerusi yang disandang Allahyarham bapa mertuanya.

Pakatan Harapan (PH) menampilkan anak muda berusia 30 tahun sebagai calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih, 2 Mac depan.

Bendahari Bersatu Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali yang merupakan seorang jurutera diumumkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di Taman Pelangi petang tadi.

Muhammad Aiman yang juga menantu bekas Adun Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Bapa kepada seorang anak itu bakal ‘bersilat’ dengan calon BN, Zakaria Hanafi, 58, yang merupakan bekas Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

Nama bekas pegawai pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itersebut iumumkan Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan hari ini.

Kerusi Dun Semenyih terletak dalam Parlimen Hulu Langat dengan komposisi 69 peratus pengundi Melayu daripada keseluruhan 54,053 pemilih berdaftar.

Mohamad Hasan umum bekas pegawai pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai calon BN.

Golongan muda berumur bawah 40 tahun di kawasan bersempadan Negeri Sembilan itu merangkumi 45 peratus pengundi.

Aiman dan Zakaria setakat ini akan beradu dalam gelanggang yang menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru.

Mereka akan dicabar calon paling muda berusia 25 tahun dari Parti Sosialis Malaysia , Nik Aziz Afiq Abdul yang merupakan usahawan muda mengendalikan pusat urut tradisional.

Nik Aziz ialah aktivis rakyat sepenuh masa serta Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM sejak 2017 dengan keluarganya mempunyai hubungan rapat dengan Pas.

Sengit

Persaingan bertambah sengit apabila aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 55, pada 5 Februari lalu sudah mengumumkan nekad akan bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ terkenal dengan kerja-kerja kebajikan seperti perkhidmatan ambulans dan teksi 10 sen bagi meringankan beban kewangan golongan miskin

Kerusi Dun Semenyih kosong apabila Bakhtiar, 57, meninggal dunia  akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Pada PRU-14, Allahyarham mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan majoriti 8,964 undi setelah meraih 23,428 undi.

Hari penamaan calon bagi PRK N24 Semenyih ditetapkan pada 16 Februari dan tarikh pengundian awal pada 26 Februari ini.