Anak muda Sungai Besar diseru pulang mengundi

Anak muda Sungai Besar diseru pulang mengundi

Pemuda Amanah Selangor menyeru golongan muda berdaftar di Parlimen Sungai Besar termasuk yang tinggal di luar kawasan supaya pulang mengundi, 18 Jun ini.

Ketuanya, Abbas Azmi berkata, seramai kira-kira 18,000 pemilih berusia kurang 40 tahun perlu menterjemahkan protes berhubung pelbagai isu ekonomi yang mencengkam mereka.

“Ini termasuklah 1,700 pengundi kali pertama yang tentunya terkesan akibat kenaikan mendadak kos sara hidup tidak setimpal dengan pendapatan diperoleh.

“Bahkan, anak muda di Sungai Besar termasuk yang merantau dan bekerja di tempat lain juga tidak terkecuali menjadi mangsa pelaksanaan GST (cukai barang dan perkhidmatan).

” Bagi mereka yang melanjutkan pengajian tinggi pula ramai terperangkap dalam kancah hutang apabila menjadi peminjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara),” ujarnya ketika ditemui di Pejabat Amanah Sungai Besar.

Ditanya sejauhmana kesan sentimen kaum dan agama serta isu remeh dimainkan pihak BN mahupun Pas, beliau yakin pengundi muda hari ini semakin celik dengan maklumat yang benar dan tepat.

“Anak muda sekarang sudah mendapat banyak info daripada pelbagai sumber dengan kadar pantas. Budaya politik pada masa ini semakin menuju kepada politik matang, bijaksana dan peduli rakyat.

“Mereka boleh menilai sejauhmana pemikiran dan kesungguhan politik pemimpin Amanah berbanding BN dan Pas,” ujarnya.

Mengulas serangan pihak Pemuda Pas yang mempersoal penggunaan bendera Amanah, Abbas berkata, cubaan itu menyerlahkan sisi politik kebudak-kebudakan Pas.

“Parti lawan kita iaitu Pas mungkin sudah cukup terdesak ketika minggu terakhir kempen ini. Tidak mustahil selepas ini mereka akan timbulkan isu pelik lain pula.

“Berbanding Amanah, kita tiada masa untuk menyerang peribadi pihak lawan apalagi hal yang tidak relevan dibangkitkan. Amanah sebaliknya fokus terkedepan mengangkat banyak isu segenap lapisan rakyat.

“Ini terutama sekali pada anak muda yang dianggap ‘baru nak hidup’. Jadi, anak muda kena pastikan buat pilihan tepat dengan mengundi Amanah,” tambahnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)