Malaysia Dateline

Anak muda Terengganu tukang pacak bendera BN?

Anak muda Terengganu diseru supaya cakna dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Hasbie Muda berharap agar golongan muda bersuara dan memantau pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menurutnya, Terengganu merupakan negeri yang memiliki paling banyak kekayaan hasil tetapi gagal ditadbir untuk kesejahteraan rakyat.

“Kita ini negeri yang cukup kaya. Dalam keadaan kita negeri kaya ini, kerajaan kita gagal mentadbir hasil untuk manfaat optimum rakyat negeri Terengganu.

“Di mana suara dan peranan anak muda negeri Terengganu?

“Adakah hanya menjadi pak pacak bendera BN Ekspo Terengganu?” soalnya dalam forum Pentas Pemuda Harapan (PH) Terengganu semalam.

Untuk rekod, Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak Kuala Nerus selama seminggu mulai 25 Februari dikatakan yang terbesar pernah dianjurkan dengan cabutan bertuah seperti sebuah apartmen, satu lot tanah perumahan, satu lot tanah pertanian, sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda.

Dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, upacara penutup bakal dilakukan oleh Perdana Menteri pada 3 Mac nanti.

Hasbie selanjutnya memberitahu hasil kekayaan Terengganu jauh lebih tinggi berbanding sebahagian besar negeri lain di Malaysia.

Berpandukan data pada 2013, beliau berkata, hasil kerajaan negeri Terengganu pada tahun itu mencecah RM2.878 bilion iaitu sembilan kali ganda melebihi Melaka yang mempunyai RM302 juta.

“Tahun 2013, Terengganu paling kaya (di Semenanjung), banding dengan Johor, hasil kerajaan negeri itu separuh daripada hasil kita iaitu hanya RM1.7 bilion.

“Kita (Terengganu) lagi kaya lebih RM1 bilion daripada Johor. Bahkan, kita lagi kaya berbanding Selangor yang dianggap negeri paling kaya.

“Hasil kerajaan negeri Selangor pada tahun itu RM2.14 bilion, kaya kita lagi. Banding dengan Kelantan, hasilnya RM368 juta, kita sembilan kali ganda lebih kaya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, ujarnya, hasil kekayaan Terengganu kurang berbanding Sabah yang mempunyai sebanyak RM3.635 bilion manakala Sarawak RM7.16 bilion.

“Sebab apa Sarawak kaya daripada Terengganu? Daripada tiga negeri yang dapat royalti minyak berjumlah RM33 bilion, Terengganu terima RM18 bilion.

“Tetapi kenapa hasil 10 tahun yang terakhir rendah? Sarawak tidak terima dana khas.

“Terengganu dapat sekarang ini dana khas. Sarawak cerdik dapat hasil minyak yang banyak sebab tubuhkan syarikat minyak sendiri.

“Sarawak ambil dalam bentuk pampasan gantian hak untuk gas dan minyak. Hasil minyak, mereka tidak ambil dalam bentuk wang ehsan seperti kita ambil,” ujarnya dalam program yang disiar secara langsung di Facebook Pemuda AMANAH Terengganu.

Sehubungan itu, Hasbie menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai tidak bertanggungjawab berhubung isu kekosongan banyak lot niaga di pasaraya utama di Terengganu.

“Berapa banyak kedai tak buka di Giant dan Mesra Mall? Razif boleh jawab orang berniaga online.

“Dia bagi alasan melepas diri sedangkan di negeri-negeri lain seperti Melaka contohnya, kedai-kedai masih meriah,” bidasnya lagi dalam forum bertajuk, ‘Anak Muda Terengganu, Cabaran & Peluang’ itu.