Anak muda, termasuk Pemuda Pas patut bantu perangi korupsi, kata Rafizi

Anak muda, termasuk Pemuda Pas patut bantu perangi korupsi, kata Rafizi

Membalas serangan perwakilan Pemuda Pas terhadapnya termasuk cabaran supaya bertanding di Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan usaha melawan korupsi pentadbiran Perdana Menteri barangkali lebih mudah jika golongan muda dan Pemuda Pas turut membantu.

“Kalaulah ada anak-anak muda dan pemimpin Pemuda Pas yang sama-sama membantu saya menjalankan amanah melawan penyelewengan dan rasuah besar yang membabitkan pentadbiran Datuk Seri Najib, mungkin di sebelah saya di dalam kandang tertuduh adalah anak-anak muda pimpinan Pemuda Pas ini.

“Mungkin juga tugas itu dapat diagih-agihkan supaya tidaklah saya terpaksa berdepan sehingga 12 kes mahkamah kerana ada anak muda pimpinan Pemuda Pas yang berani juga membongkarkan penyelewengan rasuah pemerintah dan berdepan dengan hukuman penjara,” tegasnya.

Bahkan, Rafizi dalam kenyataannya semalam memberitahu beliau mengikuti laporan serangan Pemuda Pas terhadapnya daripada kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen 8, Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan berhubung pendedahan Naib Presiden PKR itu mengenai skandal Pusat Fidlot Negara (NFC) beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut serangan Pemuda Pas itu, beliau berkata, malangnya terdapat pimpinan Pas (dulu dan kini) yang lebih selesa menerima wang rakyat terus daripada Perdana Menteri atau lagi selesa menyertai rombongan ke luar negara bersama pimpinan kerajaan.

“Atau lebih selesa hadir dalam majlis Kelab Umno di United Kingdom, atau lebih selesa tidak mengundi di Parlimen bila mana belanjawan yang mengutip GST (cukai barang dan perkhidmatan) serta menekan rakyat dibentangkan Datuk Seri Najib,” bidasnya.

Rafizi juga menganggap keengganan Pemuda Pas untuk mengenakan tindakan saman terhadapnya atau membuat laporan polis berhubung Akuan Berkanun yang menamakan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa sebagai penerima sejumlah wang melalui akaun Najib adalah berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Mereka tidak mahu saya hilang kelayakan bertanding agar mereka dapat berdepan dengan saya dalam PRU14 di Pandan nanti. Begitulah agaknya (bersangka baik),” sinisnya.

Sehubungan itu, Rafizi mengingatkan mencabar saingan politik dengan pelbagai gelaran dan ugutan bukanlah lambang keberanian.

“Lambang sebenar keberanian ialah berkata benar kepada pemerintah yang berkuasa sepenuhnya dan akan memenjarakan kita kerana kita berkata benar,” tegasnya pemegang rekod Ahli Parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara selepas meraih kira-kira 27,000 undi di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.