Malaysia Dateline

‘Anak muda tiada tempat luahkan rasa kecewa melainkan di Parlimen’

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berpendapat selari dengan keputusan di Parlimen bagi perlaksanaan Undi 18, jika seseorang yang berusia 18 tahun telah cukup matang untuk dibenarkan memandu atau berkahwin, mereka juga berhak untuk mengundi.

Menurutnya, pada 2019, beliau merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang telah bersetuju perlaksanaan Undi 18 di Parlimen.

“Parlimen telah membuat keputusannya pada tahun 2019 dan kini Parlimen tidak bersidang. Anak-anak muda ini tiada tempat untuk meluahkan kekecewaan mereka melainkan di Parlimen itu sendiri.

“Saya berharap polis dapat mengambil kira yang anak-anak muda ini hadir dan bersurai dengan aman, memakai pelitup muka dan mematuhi semua arahan polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hannah bersama salah seorang peserta Himpunan Tuntut #Undi18Now kelmarin.

 

Kelmarin, sekumpulan anak muda dari Pakatan Harapan (PH) dan badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di Padang Merbok di ibu negara dan berarak menuju ke Jalan Parlimen.

Mereka menuntut kelayakan mengundi 18 tahun (Undi 18) dilaksanakan segera susulan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menangguhkannya.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau hadir dalam perhimpunan itu yang berada dalam kawasan parlimen yang diwakilinya.

“Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya ke sana untuk melihat apa yang berlaku di kawasan parlimen saya yang mendapat liputan meluas daripada media. Bagaimanapun ketika saya sampai, anak-anak muda ini sudah mula mahu bersurai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu akan memberikan kerjasama kepada pihak polis jika dipanggil dan akan memaklumkan kepada mereka apa yang telah dilihat dan dipertahankan.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan di bawah Seksyen 111 jam 2.30 petang esok.

Protes aman membantah SPR menangguhkan Undi 18 disertai anak muda berbilang kaum.