Saudara semua, isunya bukan Ismail Sabri. Apa yang sedang kita lalui hari ini lebih besar dari sosok sama ada Ismail Sabri, Mahiaddin Yasin mahupun Anwar Ibrahim.
Isu yang harus kita renung dan bicara hari ini adalah mengenai Umno. Umno yang harus kita sanggah ini bukan sekadar parti.
Umno adalah institusi. Umno telah menapak, meletakkan akar dan mencengkam kehidupan rakyat negara ini lebih dari 60 tahun.
Selama itu jugalah Umno telah menentukan bukan sahaja cara hidup kita semua; tetapi juga cara kita melihat dan cara kita berfikir.
Akibat dari penginstitusian selama berpuluh tahun ini maka lahirlah kaum elit yang kononnya sok tahu apa yang terbaik buat negara ini.
Inilah yang rakyat lawan pada PRU-14 yang lalu.
Institusi yang membodohkan masyarakat. Institusi yang membonsaikan pemikiran. Institusi yang menyesatkan.
Saya percaya Umno sudah hilang semangat zamannya. Waktunya untuk berjuang sudah berlalu.
Dunia sudah berubah dan anak muda hari ini lebih pintar, lebih kritis serta pasti lebih maju dari ahli wakil rakyat mereka yang telah berpuluh tahun menjadi Ahli Parlimen.
Maaf cakap, tetapi lihat saja apa terjadi kepada negara ketika mereka mentadbir pada saatnya pandemik ini melaju.
Hingga 18 Ogos 2021, sebanyak 13,302 nyawa hilang begitu sahaja.
Gerombolan minda yang berfikiran lembap ini harus kita hentikan segera. Perang melawan pandemik ini tidak memerlukan gerombolan elit yang mindanya berselerak dan kesamaran dalam fikiran.
Umno adalah sejarah. Ketidakberesan negara kita hari ini lahir dari rahimnya yang gelap dengan korupsi itu.
Program vaksinasi negara perlu segera merencana suntikan ketiga dos penggalak vaksin Covid-19 untuk rakyat. Tetapi Umno tidak akan mampu melaksanakannya.
Kedaifan berfikir institusi ini berakar dari keelitisan fikiran mereka yang kononnya sentiasa tahu apa yang terbaik buat kita semua – walau negara sudah hilang 13,302 nyawa sekalipun.
Tidak ada masa depan untuk anak muda jika Umno masih memerintah.
Umno adalah kecelaruan. Menyokongnya bererti kita bersekongkol dengan cara fikir yang meranapkan.
Mungkin buat Umno, hilang nyawa itu hanyalah tragedi. Tetapi tragedi sebenar adalah pada saatnya anak muda sudah tidak lagi mampu berfikir dan bercitarasa tinggi.
*ZUL FIKRI ZAMIR merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.