Malaysia Dateline

Anak Najib Razak sebahagian pengkhianat negara, kata Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan anak lelaki kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin sebagai pengkhianat negara kerana tidak membayar cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Menurutnya, Najib pernah menggelarkan sesiapa yang tidak menjelaskan cukai pendapatan sebagai pengkhianat negara.

“Ini satu hal yang malang kerana Najib sendiri pernah menyebut orang yang mengelak daripada membayar cukai adalah pengkhianat kepada negara.

“Sekarang jelas sebahagian kepada pengkhianat negara adalah anak kepada bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya dalam reaksi video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Pada 6 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin perlu membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, terdapat lagi kes anak Najib yang dalam proses mahkamah berkaitan cubaan melarikan cukai kepada kerajaan.

“Kita telah kehilangan berpuluh juta mungkin berbilion ringgit akibat pengkhianatan anak anak penguasa dan pemimpin Umno sebelum ini yang tidak membayar cukai,” tegasnya.

Untuk rekod, seorang lagi anak Najib, Nooryana Najwa bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Julai depan berhubung kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Menghairankan

Dalam masa sama, Mahfuz turut mempersoal kelewatan tindakan LHDN sebelum ini untuk menuntut anak Najib membayar tunggakan cukai pendapatan.

“Kegagalan LHDN mengambil tindakan yang lebih awal terhadap anak Najib satu yang sangat menghairankan kita.

“Mengapa LHDN gagal untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap anak Najib sedangkan LHDN tidak perlu tunggu sehingga berubahnya kerajaan.

“Adakah kerana pengaruh ayahnya Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap LHDN sehingga menyebabkan LHDN tidak berani mengambil tindakan terhadap Najib?” tempelaknya lagi.