Anak Nazir Razak kurang senang dengan perkahwinan bapanya, anggap terlalu bermewah dan tak jaga hati bekas isteri

Oleh KIM SYAZIE

Anak kepada Nazir Razak, Marissa meluahkan rasa kurang senang terhadap perkahwinan baharu bapanya yang dianggap sangat bermewah-mewah walhal baru dua bulan sahaja bercerai dengan ibunya.

Sebelum ini, adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mengumumkan bahawa dia sudah bernikah dengan kekasih pilihannya, Puan Sri Yati Zainuddin pada 17 November lalu.

Di Instagram, Marissa meluahkan rasa kecewa dan sakit hati di atas perlakuan bapanya terhadap ibunya yang bertahan dalam rumahtangga itu selama 30 tahu .

“Kami amat sakit hati melihat ibu kami diperlakukan dengan tidak berperasaan dan diabaikan,” tulis Marissa Nazir sambil mendakwa dia sebagai anak langsung tidak mengetahui tentang majlis perkahwinan bapanya.

“Saya fikir perkahwinan ke-2 selalunya terjadi dalam keadaan yang tenang dan bijaksana – tambahan pula hanya 2 bulan sejak perceraian ibu bapa saya disahkan secara rasmi di mahkamah.

“Sebaliknya ayah saya mengadakan majlis perkahwinan yang besar dan berprofil tinggi, yang tidak mengambil kira perasaan anak-anaknya atau ibu kami, isterinya selama 30 tahun. 

“Tiada seorang pun daripada kami dimaklumkan tentang perkahwinan itu. Kami mengetahuinya daripada tetamu jemputan dan media sosial.

“Saya juga terkejut melihat kiriman Instagram ayah saya yang menyakitkan hati dan tidak sedar diri berkata ‘saya berkahwin hari ini!’ – seloroh seperti mengumumkan bahawa dia baru sahaja membeli set kayu golf baharu,” katanya.

Marissa mendaksa Nazir tidak sensitif serta menunjukkan bahawa wujud kecurangan semasa ibunya masih sakit pada 2020-2021. 

Marissa juga mempersoalkan tempoh keputusan yang diambil untuk berkahwin dengan wanita yang pernah menjadi kawan ibunya hanya selepas dua bulan perceraian disahkan di mahkamah.

Anak perempuannya itu melahirkan rasa terkejut dengan kemewahan majlis tersebut yang dihadiri ratusan tetamu, termasuk kumpulan yang pernah memenangi anugerah Grammy yang diterbangkan dari luar negara.

“Mereka yang menghadiri majlis perkahwinan – ramai antara anda mengenali ibu saya dan mungkin menerima layanannya pada masa lalu – harap maklum bahawa anda sedang meraikan penyatuan yang disebabkan oleh perselingkuhan & penipuan,” katanya.

“Ibu sangat sakit semasa wabak pada 2020-2021 dan tidak dapat melakukan apa-apa. Semasa saya dan abang saya bergilir-gilir untuk menjaganya, ayah saya meneruskan hubungan sulit dengan wanita itu.”

Selain itu, Marissa juga mempersoal ‘Nilai Keluarga’ yang pernah ditulis oleh ayahnya di dalam buku biografinya, What’s In A Name.

“Ayah saya menulis satu bab tentang ‘Nilai Keluarga’ dalam biografinya tetapi sebenarnya, semua yang saya dan abang saya pelajari tentang nilai keluarga adalah daripada ibu kami – kejujuran, integriti, kesetiaan dan kasih sayang,” katanya.

“Dia setia dengan ayah saya bukan sahaja pada masa senang tetapi juga pada masa susah. Ibu merawatnya dan mengambil alih tugas doktor ketika dia sakit kanser. Apabila ayah ditolak keluar dari CIMB, saya masih ingat dia berjaga lewat menulis laporan panjang untuk melobi pegawai baharu. Semasa SPRM menyiasat ayah, saya masih ingat dia menghadiri semua mesyuarat peguam & membantu mengatur strategi pembelaannya. Selama ini membesarkan abang & saya, serta membuat PhD sendiri di Oxford.”

“Saya dan Arman menerima bahawa keluarga kami berpecah belah dan ibu bapa kami tidak lagi bersama. Tetapi kami sangat menyayangi ibu kami dan akan menentang sebarang percubaan untuk menyakitinya atau memadamkan ingatan keluarga yang cuba dibinanya,” katanya.

Baca juga: Masjid ini perlu Imam sepenuh masa, tawar gaji setinggi lebih RM220,000 setahun