Malaysia Dateline

Anak pemandu lori rangkul Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri Sarawak

Anak pemandu lori dari Kampung Bunan Gega, Mongkos ,Kuching berjaya merangkul Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri Sarawak dalam Pertandingan Kemahiran Dunia Malaysia Sarawak (WMS) 2019.

Hermit Dominic, 20, yang mewakili Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM8, 000.

Beliau yang menyertai pertandingan di bawah kategori kimpalan tidak menyangka berjaya dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan yang berlangsung selama dua hari tersebut (10 hingga 12 September) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

“Saya sangat gembira kerana berjaya membawa pulang hadiah utama ini kerana bukan mudah untuk saya berada pada tahap ini.

“Latihan demi latihan saya lakukan setiap hari untuk mengasah kemahiran yang ada dalam diri saya untuk dipersembahkan dalam pertandingan akhir WMS 2019,” katanya ketika ditemui pemberita.

Anak kepada Dominic Mandi dan Martina Mamah itu begitu terharu kerana tidak putus-putus mendapat sokongan moral daripada kedua-dua ibu bapanya sebelum melangkah ke pertandingan akhir.

“Restu ibu bapa amat diperlukan sebelum melangkah ke pertandingan akhir WMS 2019.

“Kejayaan yang saya dapat kali ini adalah bukti bahawa anak kampung seperti saya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti anak bandar,” ujarnya.

Sebelum menjejakan kaki ke ILP Kota Samarahan untuk mengambil jurusan kimpalan, anak berdarah Bidayuh ini pada mulanya agak canggung kerana beliau tidak mempunyai minat dan tidak tahu selok-belok bidang kimpalan.

“Saya banyak didorong oleh pakcik untuk mengambil bidang kimpalan kerana pakcik memberitahu bahawa bidang ini dapat memberi keuntungan yang lumayan.

“Ketika saya mula-mula belajar di ILP Kota Samarahan pada tahun 2017, amat sukar bagi saya mendalami bidang kimpalan.

“Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk terus belajar dan berlatih setiap hari bagi memudahkan saya mendalaminya,” jelasnya.

Hermit juga pernah menyertai pertandingan seperti ini di Kota Kinabalu tetapi malangnya tidak dapat masuk ke peringkat akhir.

“Di sana (Kota Kinabalu) saya hanya berada di peringkat pra-kelayakan.

“Kekecewaan ini telah menaikkan semangat saya untuk terus cemerlang dalam bidang kimpalan,” kata anak bongsu daripada lima adik-beradik ini.

Beliau juga bercita-cita untuk bekerja di luar negara untuk mengubah nasib keluarganya.

“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak ILP Kota Samarahan, tenaga pengajar, ibu bapa dan penduduk kampung kerana telah banyak memberi semangat dan sokongan moral kepada saya selama melanjutkan pelajaran di ILP Kota Samarahan,” katanya.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dato Sri Michael Manyin Jawong.