Malaysia Dateline

Anak pemimpin terlepas hukuman berat, PN ajar rakyat mimpi siang hari

Kes Riza Aziz, anak tiri kepada Datuk Seri Najib, yang terlibat kes penggubahan wang haram telah menjadi isu besar yang melibatkan kepentingan awam kerana ia melibatkan sebahagian besar wang rakyat Malaysia yang telah dicuri.

Ia menjadi lebih kontroversi apabila beliau telah dibebaskan dengan hanya diperlukan membayar lebih kurang separuh, USD 108 juta (RM 432 juta) jumlah keseluruhan iaitu USD 248 juta (RM 992) yang terlibat.

Ini adalah jumlah yang amat besar untuk satu kesalahan serius yang hukuman maksimumnya adalah 15 tahun penjara atau juga kemungkinan melibatkan denda lima kali denda iaitu lebih kurang RM 3.968 bilion.

Tetapi beliau telah dibebaskan tanpa hukuman penjara atau pun denda. Apabila kerajaan PN – Umno dan Pas – mengumumkan kerajaan PN adalah kerajaan Melayu-Islam, ramai rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk mendapat sistem keadilan yang baik dan telus mengikut nilai serta ajaran Islam.

Malangnya, ianya tidak berlaku dan yang sebaliknya menjadi kenyataan. Pencurian dan rompakan ratusan juta ringgit oleh orang yang sudah kaya kerana tamak haloba tidak dikenakan hukuman sepatutnya.

Tetapi pencurian atas keperluan oleh yang miskin terdesak atas penderitaan untuk survival anak kecil dan diri dikenakan penjara dan saman.

Kita pernah mendengar kisah ibu miskin melarat terpaksa mencuri susu dipenjarakan dan disaman. Lelaki miskin mencuri tin sardin juga dipenjara dan disaman.

Islam melarang mereka yang miskin melarat dihukum kerana mencuri atas keperluan mendesak. Pemerintah pula disalahkan atas wujudnya situasi tersebut.

Isyarat yang kelihatan hari ini ialah yang kaya boleh terus menipu dan merompak begitu banyak wang kerana tamak haloba tanpa hukuman sementara yang miskin melarat dikenakan hukuman berat atas kesalahan kecil mencuri kerana keperluan mendesak.

Hari ini juga orang biasa dikenakan hukuman penjara dan saman penuh atas kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sementara anak Menteri yang kaya-raya diberi diskaun saman tanpa apa-apa penjara. Inilah kepincangan pelaksanaan undang-undang di bawah kerajaan PN.

Soalannya, kenapakah Pas yang mengakui sebuah parti Islam membisu dan kaku dalam isu ini?

Seorang anak kepada Zahid Hamidi, dari Umno yang malanggar PKP diberi diskaun 20 peratus denda tanpa hukuman penjara sementara rakyat biasa didenda dan ada yang dipenjarakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal undang-undang,Datuk Takiyuddin, yang selalu menyebut tentang meluluskan RUU 355 dan hukum hudud di Parlimen adalah dari Pas.

Soalan utama di sini adalah kalau undang-undang biasa lama sivil dan jenayah tidak boleh dilaksanakan dengan adil dan saksama, bagaimana pula akan undang-undang syariah yang lebih berat hukumannya akan dilaksanakan dengan adil?

Pas mendakwa seolah-olah mereka sahajalah boleh menegakkan keadilan dengan Islam. Sekarang mereka dan menteri undang-undang sudah menjadi kerajaan, di manakah keadilan yang adil dan saksama untuk semua rakyat?

Yang kaya dan berpengaruh seperti Riza Aziz anak Najib, dibebaskan dengan tidak dihukum atau didenda tetapi hanya diminta memulangkan hanya separuh dari wang rakyat yang diambil. Adakah dia boleh menyimpan separuh lagi yang diambil?

Jangan hanya menjaja nama kerajaan Melayu-Islam dan hukum hudud sahaja tanpa menghayati roh keadilan sebenarnya yang dituntut Islam.

Contoh-contoh pelaksanaan undang-undang terbaru menunjukkan kerajaan PN memilih bulu di antara dua darjat.

Satu peraturan undang-undang dan hukuman istimewa untuk golongan dari pemerintah, dan satu lagi untuk rakyat marhaen biasa.

Adakah ini mencerminkan nilai Melayu-Islam sebenarnya? Melayu mungkin ada nilai cara feudalnya tetapi Islam adalah agama yang adil dan syumul untuk semua.

Adakah Perikatan Nasional mampu menjiwai nilai serta roh kedua-duanya ? Atau adakah kerajaan PN hanya meminta rakyat untuk bermimpi di siang hari ?