Satu rakaman yang memaparkan majlis perkahwinan anak pendakwah terkenal telah mengundang perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi rakaman yang beredar di laman TikTok, acara pernikahan tersebut bermula selepas pengantin lelaki sampai ke lokasi majlis dengan menunggang seekor kuda.
Walau bagaimanapun, perkara yang menarik perhatian penonton video tular tersebut adalah nilai mas kahwin diserahkan pengantin lelaki berkenaan kepada suri hatinya.
Dikatakan bernilai mencecah 1 bilion, pengantin perempuan dikenali sebagai Qurrotu Aini Rahman itu menerima wang tunai berserta 500 gram emas sebagai mas kahwin.
Difahamkan, Qurrotu Aini adalah anak sulung kepada pendakwah yang juga pendiri sekolah agama Al Idrisiyyah di Indonesia, Syekh Akbar Muhammad Fathurahman.
Manakala sosok pengantin lelaki yang berjaya menawan hati anak Syekh Akbar pula merupakan seorang ahli perniagaan asal Cikarang, Bekasi iaitu Faisal Ramadan.
Acara pernikahan itu diadakan dengan penuh sederhana namun meriah bertempat di perkarangan Pondok Pesantren Al Idrisiyyah di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia.
Selain emas, Qurrotu Aini turut menerima wang tunai 500 juta rupiah atau RM150,186 di mana jumlah maharnya adalah RM300,000 jika ditukarkan kepada mata wang Malaysia.
Tular di media sosial, video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @estehmanisya itu telah berjaya menerima tontonan sebanyak 4.7 juta pelayar platform berkenaan.
Berita pernikahan itu begitu mencuri tumpuan pengguna media sosial yang merasa kagum dengan nilai mahar yang diterima oleh anak pendakwah terkenal tersebut.