Anak penoreh getah kini usahawan berjaya

Anak penoreh getah kini usahawan berjaya

“Saya anak pekebun kecil, dahulu kedua orang tua saya bekerja sebagai penoreh getah, tetapi etika serta usaha mereka yang tidak mengenal lelah untuk menambah pendapatan mereka, menjadi inspirasi kepada saya,” kata Mohd Fadhil Ibrahim, 38, seorang usahawan berjaya.

Menurutnya, sejak beliau kecil kedua ibu bapanya telah menunjukkan teladan yang baik dan sentiasa bekerja keras, dan saya amalkan apa yang ditunjukkan itu, dalam setiap usaha yang saya lakukan.

“Saya dedikasikan kejayaan saya hari ini, kepada kedua orang tua saya, kerana menunjukkan nilai dan etika yang baik dan sentiasa berusaha mencari wang tambahan demi menyara kami sembilan adik beradik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis perasmian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Smallholders Mart (RisSMart) di Kubang Menerong di sini hari ini.

Mengimbau kembali sewaktu dibesarkan di sebuah perkampungan di Maran, Pahang, beliau berkata kedua orang tuanya keluar menoreh di luar waktu kebiasaan penoreh, kerana ingin merebut masa untuk mencari wang tambahan.

“Mereka keluar menoreh bermula jam tiga pagi sedangkan kebiasaannya penoreh hanya keluar menoreh selepas subuh. Saya masih ingat arwah ayah berkata sekiranya kerja menoreh diselesaikan segera, masa yang ada boleh digunakan untuk berniaga.

“Mereka sedar hasil pendapatan menoreh tidak mencukupi untuk menampung kami sembilan adik-beradik, oleh itu mereka mencari wang tambahan dengan berniaga, mereka berniaga makanan seperti cendol dan sebagainya,” kata Mohd Fadhil.

Melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak dari tahun 2009 dengan menjual pastri dan roti, Fadhil mengambil langkah mengembangkan lagi peniagaannya, berikutan sambutan yang menggalakkan dengan menghasilkan kuih muih serta pastri sejuk beku dan membekalkannya kepada restoran, hotel, dan sekolah.

Katanya ketika perniagaannya semakin berkembang, beliau berusaha perlu lebih kreatif dan berusaha dengan lebih keras seperti yang dilakukan kedua orang tuanya, untuk mendapatkan wang tambahan, demi kelansungan perniagaannya.

“Ketika itu pada tahun 2014 saya telah memohon bantuan daripada RISDA dan diberikan bantuan sebanyak RM10,000.

Alhamdulillah kini saya masih meneruskan perniagaan pastri sejuk beku, dan mempunyai dua buah trak makanan hasil bantuan RISDA,” katanya.

Mohd Fadhil juga menasihati orang ramai khususnya anak-anak desa agar meningkatkan usaha dan merebut peluang ditawarkan demi pembangunan diri dan ekonomi.

Katanya masyarakat khususnya anak muda ketika ini, tidak akan mampu berjaya dalam kehidupan sekiranya sentiasa mahu berada di dalam zon yang selesa.

“Jangan hanya tunggu peluang tetapi tidak mahu berusaha khususnya anak muda. Jangan hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja, lebih-lebih lagi sekiranya ianya tidak mencukupi.

“Jika diberikan peluang menambahkan pendapatan, ambil peluang itu, gunakan sebaiknya dan yang paling penting berusaha. Tanpa usaha, peluang yang diberi tidak akan berguna,” katanya.