Malaysia Dateline

Anak perantauan pulang beraya dinasihat jaga kebersihan dan jimat air

Anak Kelantan di perantauan yang pulang ke kampung halaman untuk beraya diharap mengikuti dan memberi sokongan kepada program “Kelantanku Bersih dan Ceria” supaya dapat bersama-sama menjaga kebersihan sama ada di jalan raya, di kampung halaman, atau di mana sahaja berada.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam perutusan sempena Aidilfitri turut menasihatkan supaya penggunaan air tidak dibazirkan dengan pertambahan jumlah perantau yang masuk ke Kelantan di musim perayaan ini.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dijangkakan tidak kurang sejuta anak perantau akan pulang ke kampung masing-masing dan ini sudah pasti memerlukan banyak penggunaan air.

“Bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kekurangan air dan berisiko, kerajaan menyediakan tangki-tangki statik di lokasi tertentu.

“Hendaklah kita juga berjimat cermat dan elakkan pembaziran air supaya diberi keberkatan dan dapat kita menyambut hari raya dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Jelasnya, sempena perayaan Aidilfitri kali ini orang ramai diharap dapat gunakan peluang ini untuk bersama-sama bermaafan dan saling mengunjungi antara satu sama lain sama ada bersama kaum keluarga, sanak-saudara, sahabat handai dan kenalan.

“Kepada anak-anak Kelantan di perantauan yang akan pulang ke Kelantan dengan kenderaan, sentiasalah berhati-hati dan mengikut peraturan serta nasihat sepanjang perjalanan dan jangan lupa membaca doa memohon keselamatan dalam perjalanan,” katanya.– BERNAMA