Malaysia Dateline

Anak, PH masuk Felda Chuping selepas disekat masuk Mata Ayer

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berjaya menerobosi Felda Chuping, Perlis walaupun semalam gagal memasuki Felda Mata Ayer di negeri itu.

Presidennya Mazlan Aliman berasa bersyukur kerana Jelajah Selamatkan Felda di Felda Chuping malam tadi dihadiri ramai warga Felda khususnya dari generasi kedua dan ketiga.

“Meskipun disekat di Felda Mata Ayer, ia tidak menghalang masyarakat untuk hadir bagi mendapatkan gambaran sebenar kemelut Felda.

“Banyak banner di pasang menghentam Anak dan Datuk Mahfuz Omar, ia isu kecil berbanding pendedahan skandal Felda seperti tanah Jalan Semarak, FGV, kehilangan berbilion ringgit wang Felda, perumahan generasi kedua, hutang peneroka dan pendapatan rendah peneroka.

“Insya Allah, perubahan besar diyakini akan berlaku di kerusi Parlimen PRU14 ini,” ujarnya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Semalam dalam siri jelajah Felda di negeri Perlis, ANAK bersama pimpinan Pakatan Harapan telah disekat sekumpulan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari memasuki Felda Mata Ayer.

Mereka mendakwa kehadiran Mazlan dan Pakatan Harapan di kawasan Felda akan memecahbelahkan masyarakat.

Baca: Rombongan Anak disekat masuk Felda Mata Ayer

Sumbang RM15 atau lebih untuk bantu kempen AMANAH

iklan berbayar