Anak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham, menarik perhatian di aplikasi sosial media Twitter apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa buli jalan raya, semalam.
Menurut hantaran itu, beliau berhadapan dengan detik cemas apabila pemandu kereta jenis Proton Iriz itu memandu secara melulu dengan menekan brek berulang kali di lorong laju.
Katanya, tindakan pemandu yang merupakan seorang wanita itu amat berbahaya memandangkan anaknya yang baru berusia dua tahun turut berada di dalam kenderaan.
“Saya biasanya tidak berkongsi perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini. Kereta ini asyik tekan brek di lorong laju.
“Sangat bahaya dan saya mempunyai anak berusia dua tahun bersama saya. Berada di sana selama seminit sebelum pemandu wanita itu menukar ke lorong lain,” katanya.
Ciapan Nurul Ilham ini turut disertakan bersama video berdurasi 14 saat dimana situasi yang dikatakannya itu boleh dilihat dengan jelas.
Nurul Ilham turut berkongsi bahawa dia mula melihat kenderaan tersebut di pintu tol sebelum membunyikan hon kearahnya untuk menuju ke lorong Touch N Go.
“Saya telah memberi isyarat untuk pergi ke kiri, tetapi saya tidak nampak sebarang isyarat dia pergi ke kanan (ke arah lorong Smart Tag). Rasanya dia marah tentang itu,” tambahnya.
Rata-rata pengguna media sosial mencadangkan Nurul Ilham membuat laporan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.
Selain itu, ada juga komen yang memberi amaran kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati apabila berdepan dengan pemandu emosi berikutan takut berlakunya kes pemerasan wang.
Baca juga: Anwar pegang arnab untuk ucap Tahun Baru Cina, warganet berseloroh nasib baik bukan binatang lain