Malaysia Dateline

Anak Presiden Umno anggap netizen kurang cerdik, cabar lapor polis

Hidayah dan suaminya (kiri) menemui Masrizal semalam sekali gus melanggar arahan PKP.

Anak perempuan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja ke sana ke sini melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) malah menggelar orang ramai yang mengecamnya sebagai kurang cerdik.

“Malas nak layan orang kurang cerdik. Mungkin mereka tak faham beza Movement Control Order / Perintah Kawalan Pergerakan dengan lockdown – penutupan / sekatan.

Kang cakap b*d*h kecik hati. Rajin-rajin la bertanya. Rajin-rajin la membaca seperti mana korang rajin komen yang negatif tanpa usul periksa,” kata Datuk Nurul Hidayah dalam satu kiriman Instastory.

Dia yang tahun lalu pernah merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad agar membenarkan ayahnya menunaikan umrah pada bulan Ramadan itu turut memuat naik bukti keingkarannya mematuhi PKP di media sosial.

Nurul Hidayah secara terbuka memberitahu dia telah berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

“Selepas selesai dengan YB Menteri Hal Ehwal Agama, kami ke Kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa dengan YB Datuk Dr Masrizal, Timbalan Menteri.

“Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan YB Datuk Dr Masrizal sejak beliau menjadi Setiausaha Politik kepada abah saya @ahmadzahidhamidi tidak berapa lama dahulu. A dear friend to our family,” katanya.

Ekoran dihujani kecaman orang ramai, Nurul Hidayah dalam ruangan komen di Instagram mencabar pihak yang mengkritiknya atas dakwaan melanggar PKP membuat laporan polis terhadapnya.

Reportlah (laporlah) polis tak payah komen sini. Saya sedia bagi keterangan dari saya. Saya cabar,” tegasnya membalas komentar yang berpendapat panggilan video boleh digunakan bukannya pertemuan bersemuka sepanjang tempoh PKP.