ANAK rancang kempen bantah Felda beli saham syarikat Indonesia

ANAK rancang kempen bantah Felda beli saham syarikat Indonesia

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) tidak teragak-agak untuk menggerakkan kempen membantah pembelian saham Ladang Pt Eagle High Plantation bernilai RM2.26 bilion jika ia diteruskan.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, pihaknya kesal terhadap pengerusi Felda yang baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mempertahan tindakan agensi itu melalui Felda Investment Corp (FIC) membeli 37% ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

Shahrir berkata beliau bersetuju dengan pembelian tersebut kerana Felda mendapat harga yang lebih baik daripada Felda Global Ventures Holdings Bhd (yang sebelum itu merancang untuk membeli saham berkenaan).

Menurut Mazlan, Shahrir mengulangi kesilapan Tan Sri Isa Samad apabila tidak mengendahkan pandangan pelbagai pihak mengenai pembelian ladang yang tiga kali lebih mahal daripada harga pasaran.

“Bukan sahaja pembelian tersebut telah dibatalkan oleh FGV, bahkan Sime Darby dan PNB telah menolaknya lebih awal meskipun ditawarkan harga lebih rendah.

“Cukuplah dengan kegagalan FGV sebagai iktibar. Sebelum penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, segalanya indah belaka. Kini, FGV menjadi malapetaka kepada peneroka,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Anak mengulangi gesaan agar Shahrir dalam membawa perubahan di Felda dengan menumpukan persoalan utama yang mengganggu kehidupan peneroka seperti hutang tanam semula, perumahan generasi baharu Felda dan bayaran pendapatan hasil peneroka yang lambat.

“Seharusnya, isu penyelenggaraan kebun peneroka dan Ladang Felda Plantation yang mempunyai keluasan lebih 850,000 hektar mesti menjadi fokus Tan Sri Shahrir.

“Di sinilah penanda aras kejayaan Felda yang menjadi kebanggaan negara. Ia adalah teras dan nadi pembangunan ekonomi Felda yang membawa perolehan berbilion setiap tahun,” katanya.

TAGS