Malaysia Dateline

Anak sambut baik keprihatinan kerajaan kepada Felda

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyambut baik keprihatinan kerajaan dengan apa yang berlaku terhadap Felda dan warganya.

Anak dalam entrinya di Facebook berkata, dengan bantuan yang diberikan itu akan menjelaskan lebih RM480 juta tunggakan sekali gus mengatasi masalah aliran tunai Felda.

“Berdasarkan sumber bayaran tertunggak Felda kepada FTPSB sebanyak hampir RM1 Bilion ringgit. Dengan bantuan ini Felda akan menjelaskan lebih RM480 juta tunggakkan tersebut dan FTP akan menyelesaikan bayaran tertunggak kepada kontraktor-kontraktornya.

“Kerajaan telah berusaha dan perihatin dengan apa yang berlaku dengan Felda dan warganya,” tegas Anak.

Hari ini, Felda memaklumkan akan melunaskan tunggakan bayaran bagi tahun lepas kepada pembekal dan kontraktornya secara berperingkat bermula minggu hadapan.

Unit Komunikasi Korporat Felda dalam kenyataan hari ini berkata, pembayaran tersebut melibatkan mereka yang bekerja dengan pembekalan dan kerja-kerja berkaitan operasi kebun peneroka Felda seperti kerja tuai dan angkut.

“Felda mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi atas pinjaman kewangan sebanyak RM500 juta melunaskan tunggakan bayaran bagi tahun 2018 kepada pembekal dan kontraktor Felda.

“Felda berharap pembayaran tunggakan ini akan melancarkan operasi kebun peneroka dan dapat memaksimumkan hasil serta pendapatan mereka,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Felda kini sedang melaksanakan beberapa inisiatif transformasi untuk memulihkan aliran tunai mereka, bagi memastikan kelewatan bayaran tidak berlaku pada masa hadapan.

Selasa lepas, Bernama melaporkan 40 pemandu lori daripada lima kontraktor di Felda Kahang Barat, Kluang, Johor, meminta penjelasan pihak Felda dan anak syarikatnya, Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) berkenaan tunggakan bayaran gaji dan upah mereka.