ANAK seru peneroka tidak perlu lampirkan salinan geran hak milik

ANAK seru peneroka tidak perlu lampirkan salinan geran hak milik

 

 Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) menyeru peneroka dan waris atau pentadbir tanah rancangan itu supaya tidak perlu melampirkan salinan geran hak milik ladang dan rumah seperti yang dituntut pihak pengurusan Felda.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, mereka yang telah berbuat demikian sebelum ini boleh mengambilnya semula ekoran penafian Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tentang adanya arahan penyerahan salinan geran terbabit.

Shahrir dalam kenyataannya semalam berkata, dakwaan perlunya peneroka menyerahkan salinan kedua-dua geran itu bersama dokumen lain bagi mendapatkan insentif khas RM5,000 seperti diumumkan Perdana Menteri adalah fitnah pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, peneroka sebelum ini mengadu kepada Anak bahawa salinan geran hak milik rumah dan ladang adalah dua dokumen terakhir dalam 10 senarai semak Borang Maklumat Peneroka yang perlu ada serta mendapat pengesahan terlebih dahulu.

Setiap borang terbabit kemudiannya sekali lagi hendaklah disahkan oleh Pengurus Rancangan sebelum dihantar pula ke Pejabat Wilayah Felda.

“Sehubungan itu, ANAK mengingatkan Tan Sri Shahrir agar segala kenyataan beliau mestilah selari dengan amalan yang berlaku dalam pengurusan Felda,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu, ‘sindrom penafian’ seperti isu geran hak milik dan bebanan hutang peneroka sehingga mencecah RM100,000 akan menjejaskan reputasi Shahrir sebagai Pengerusi Felda yang diharap membawa perubahan.

Turut cuba dinafikan sekali gus mengikis kepercayaan umum terutama warga Felda kepada Shahrir adalah isu berkaitan kehilangan baki RM4.3 bilion ekoran penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Adalah diharapkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 ini sama ada Tan Sri Shahrir mahupun Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada untuk jujur dalam melaksanakan tanggungjawab kepada warga Felda.

“Jangan khianati kepercayaan yang telah diamanahkan. Semoga ia bertepatan dengan tema kemerdekaan, Negaraku Sehati Sejiwa,” kata Mazlan.

{loadposition myposition} Beliau sebelum ini mendedahkan ramai peneroka Felda dan waris atau pentadbir tanah rancangan itu yang keliru dengan arahan melengkapkan semua dokumen termasuk melampirkan geran hak milik kebun dan rumah bagi layak memperoleh insentif tersebut yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada 23 Julai lalu.

Walhal, jelasnya, dokumen yang sama telah diserahkan kepada Felda ketika pengumuman durian runtuh RM15,000 kepada 112,635 peneroka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 lalu.

“Jika rekod dan maklumat peneroka telah sedia ada sama ada di ibu pejabat Felda mahupun Felda di peringkat rancangan seperti diminta sebelum ini, apa perlunya diberi lagi?

“Di saat Felda bermasalah, pemberian dokumen dan salinan hak milik tanpa alasan kukuh, tentu sekali menimbulkan kebimbangan.

“Ia boleh terdedah kepada manipulasi yang akhirnya menjerat peneroka,” tegas Mazlan dalam kenyataannya pada 24 Ogos lalu.

Menurutnya, ANAK menyokong warga Felda mengambil wang RM5,000 itu kerana ia merupakan hak peneroka tetapi mengingatkan supaya tidak sesekali mengikat diri atau ber’aku janji’ bagi memenangkan kerajaan yang korup dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

“Harga diri peneroka dan warga Felda umumnya tidak semurah dedak ditabur. Sebaliknya kerajaan yang baru dipilih mestilah membawa agenda perubahan bagi mengembalikan Felda ke landasan yang betul,” tegas Mazlan lagi.

Borang peneroka Felda

CATEGORIES
TAGS