Anak Supir jadi Lawyer

Oleh BORHAN AHMAD

Pertama kali saya mengenali Asmuni Awi ialah semasa ceramah dihadiri Ustaz Fadzil Mohd. Noor dengan Wan Azizah di sebuah dewan di Sekolah Jenis Cina di Kuala Kangsar dalam program Gerak. Namanya disebut-sebut bakal calon parlimen Kuala Kangsar bagi menentang Rafidah Aziz, seorang Menteri yang sangat berpengaruh pada pilihanraya umum 1999.

Beliau kalah dalam pilihanraya tersebut tetapi pilihanraya itu memberi laluan luas untuk beliau bergiat kembali dengan Pas. Yang DiPertua Pas Kuala Kangsar, Haji Kamarul memberi laluan untuk Asmuni Awi mengetuai Pas Kuala Kangsar. Asmuni Awi telah mengenali Haji Kamarul sejak Yang DiPertua Pas itu bertugas sebagai jurutaip di mahkamah Ipoh.

Bapa beliau adalah pemandu kereta atau supir kepada syarikat perniagaan yang dimiliki oleh towkey di Ipoh. Beliau bersekolah di Izuddin Shah dan Zahid Hamidi adalah antara rakan sekelasnya pada masa tersebut. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di UM dalam bidang undang-undang. Beliau adalah antara peguam bumiputra yang awal di Perak. Di Sekolah Izzuddin Shah yang merupakan sekolah agama kerajaan negeri, beliau menyertai kelab muzik dan brass band sekolah tersebut.

Meminati kumpulan muzik The Swallows, The Siglap Five dan The Rhythm Boys bagi kugiran tempatan serta penyanyi Kasim Selamat, Jefrydin dan A. Ramlee. Manakala bagi kumpulan luar negara, beliau meminati Bee Gees, Tom Jones, Lyn Anderson selain dari Beatles. Ketika saya pergi ke pejabat guaman beliau, saya ternampak foto beliau di meja belakang tempat duduknya. ‘Ah ini betul Beatles!’

Sepanjang saya di UK, beliau pernah datang ke rumah saya di Swansea dan pernah saya bawa berjalan-jalan ke university saya di Lampeter. Swansea bukanlah destinasi popular bagi orang Malaysia jika ke UK. Ini kerana kedudukannya di hujung UK dan jauh daripada London dan Manchester. Agak hulu sikit. Selain beliau, pimpinan yang pernah datang ke rumah saya ialah Bang Mat Sabu, Nizar dan Ustaz Mohamad Hussein.

Beliau pernah mengiringi Ustaz Hadi ke London dan kami bertemu di London ketika itu. Beliau juga pernah ke London semasa rombongan Pas Perak yang diketuai Nizar Jamaluddin datang. Ketika itu, saya, Raja Iskandar bersama rakan-rakan menjadi penganjur program.

Beliau antara pimpinan Pas yang kerap keluar negeri bersama dengan Presiden Pas, Ustaz Hadi. Antaranya Republik Czech, Austria, Bosnia Hazegovina, Kosovo, Albania, Macedonia, Russia, England dan Republic Ireland. Sepanjang perjalanan bersama itu, banyaklah tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Hadi kepada beliau. Ini kerana setiap selepas solat subuh, Ustaz Hadi akan beri kuliah subuh, walaupun hanya berdua.

Presiden Pas, Ustaz Fadzil Mohd. Noor mula mengetahui Asmuni sewaktu beliau bertugas sebagai majistret di Jitra tetapi tidak sempat berjumpa. Asmuni sudah bergiat dengan Pas Kedah di zaman Ustaz Abu Bakar Omar menjadi Pesuruhjaya Pas Kedah. Pada masa itu, beliau aktif bersama dengan Ustaz Osman Marzuki dan Ustaz Halim Arshad.

Ketika itu, ramai pimpinan Pas adalah terdiri arator hebat tetapi Ustaz Fadzil memilih beliau yang bukan seorang arator sebagai AJK Pas Pusat selepas Muktamar Pas tahun 2000. Namanya dicadangkan oleh Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Fadzil bersetuju. Inilah kelebihan Ustaz Fadzil menggabungkan kepelbagaian kebolehan dan kelebihan dalam satu pasukan.

Bidang beliau dalam Pas ialah di Jabatan Pilihanraya yang menguruskan jentera dan logistik untuk pilihanraya selain daripada menjadi Bendahari. Bidang itu diteruskan di dalam AMANAH. Beliau kini Pengerusi AMANAH Perak dan juga Pengarah Pilihanraya AMANAH Nasional.

Semasa kami di dalam AJK Pas Pusat, beliau meminta saya, Nizar dan Raja Ahmad Iskandar datang ke pejabat guaman beliau di Meru. Ketika itu kami membincangkan strategi mesyuarat AJK Pas Pusat bagi menghadapi pendirian Presiden Pas ketika itu mengenai isu MB Selangor. Ketika itu, Ustaz Hadi menolak Wan Azizah sebagai calon MB Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Hujah Ustaz Hadi ketika itu, Wan Azizah tidak layak kerana beliau seorang wanita. Ustaz Hadi juga berhujah bahawa memilih wanita sebagai pemimpin akan membawa ke neraka.

Ketika berlaku perpecahan dalam Pas selepas Muktamar Pas di Kuala Selangor, beliau telah memanggil kami untuk berbincang tentang penubuhan Gerakan Harapan Baru dan seterusnya mengasaskan AMANAH. Proses itu memakan masa dan banyak pertemuan dan perbincangan dibuat. Akhirnya, pihak Jawatankuasa penaja AMANAH Nasional memilih Asmuni untuk mengetuai AMANAH Perak. Beliau terus kekal menjadi Pengerusi AMANAH Perak hingga sekarang dan saya juga kekal dari awal penubuhan hingga kini sebagai Naib Pengerusi AMANAH Perak.

Beliau adalah exco Agama dan Pembangunan Luar Bandar semasa PH memerintah Perak selama 22 bulan. Kedudukan ini memberi ruang untuk beliau berhubung terus dengan Tuanku Sultan Perak yang menjadi Ketua Agama bagi negeri Perak. Hubungan tersebut diteruskan hingga kini oleh beliau dan Tuanku sendiri. Terbaharu beliau dititah untuk datang menghadap Tuanku bagi bertukar-tukar fikiran mengenai perkembangan negeri. Walaupun ketika itu, beliau tidak lagi menjadi exco dan kerajaan, Tuanku bersedia berbincang dengan beliau selama hampir dua jam.

Pintu pejabatnya di bangunan SUK, sentiasa dibuka kepada orang awam untuk bertemu dengannya. Tidak pernah pintu pejabatnya ditutup seperti pejabat-pejabat exco lain. Ini memudahkan orang untuk mengadu dengannya. Rumah lamanya di Manjoi dijadikan Pejabat Adun. Antara tugasan yang diberikan kepada saya oleh beliau ialah mempengerusi JK Khas Pemilihan Ketua Kampong PH seluruh negeri Perak. Beliau memberikan kepercayaan untuk saya mengurus persoalan tersebut.

Saya mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil parti komponen PH iaitu PKR, Dap dan Bersatu. AMANAH diwakili saya, Faizal dan Badrin. PKR diwakili Yunus dan dua lagi ahli yang saya lupa, Bersatu pula diwakili Ibrahim Hanafiah, Komander (B) Nordin dan seorang ahli Bersatu. Dap diwakili oleh Dr. Aziz Bari, Sivakumar dan Wong Kah Woh. Saya kemukakan formula pemilihan tetapi tidak semudah untuk diterima oleh semua pihak. Akhirnya, baki yang tidak dapat diselesaikan oleh kami, saya serahkan kepada Asmuni untuk uruskan.

Beliau juga memberi kepercayaan kepada saya untuk mengurus pemilihan wakil AMANAH dalam ahli lembaga PPK dan PPN. Ini kerana saya adalah Pengerusi Biro Pertanian, Tanah dan Luar Bandar AMANAH Perak. Biro ini memang tidak popular, ramai yang menolak untuk mengetuai biro ini. Akhirnya saya terpaksa ambil tanggungjawab mengalas amanah tersebut.

Kini beliau menjadi Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Perak bersama Nga Kor Ming dan Farhash membantu Dr. Mujahid Yusof yang mengemudi pakatan politik untuk berkhidmat dengan rakyat Perak.