Anak syarikat Polymer Link beli tanah Pelabuhan Klang berharga RM14.4 juta

Anak syarikat Polymer Link beli tanah Pelabuhan Klang berharga RM14.4 juta

Anak syarikat milik penuh Polymer Link Holdings Bhd, Polymer Link Sdn Bhd (PLSB), bercadang bagi mengambilalih tanah pajakan di Taman Perindustrian Perdana, Pelabuhan Klang dengan harga pembelian keseluruhan sebanyak RM14.40 juta untuk membina sebuah kilang.

Tanah pegangan pajakan 99 tahun itu berkeluasan 19,974 meter persegi.

Polymer Link dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pengambilalihan tersebut akan membolehkan PLSB membina kilang sendiri dan mengukuhkan keupayaan aktiviti penghancuran pelet dalam bentuk asli atau sebatian dalam warna bagi menyediakan pilihan produk plastik yang lebih pelbagai.

“Di samping itu, Polymer Link telah mempelbagaikan aktiviti perniagaannya dengan menceburi bidang urus niaga dan penyelenggaraan sistem pemampat udara melalui pengambilalihan MAQQO Synergy Engineering Sdn Bhd (MSESB),” katanya, sambil menambah MSESB sedang beroperasi dari kilang sewa PLSB yang terletak dalam jarak dua kilometer dari tanah perindustrian itu, dengan keluasan tanah kasar 5,995 meter persegi.

“Ruang lantai premis sekarang ini, tidak mencukupi bagi menampung pengembangan tersebut disebabkan MSESB memerlukan ruang yang lebih besar untuk menyimpan inventori, bahagian-bahagian dan peralatan berkaitan,” katanya.

Dengan pengambilalihan dan pembinaan bangunan kilang baharu bagi mengeluarkan bahan sebatian dan bukan sebatian serbuk plastik serta ruang yang lebih besar untuk menyimpan semua alat kompresor, PLSB akan mampu memiliki bangunan dan kilang sendiri untuk kepentingan perniagaan berjangka panjang.

“Kami juga akan menguasai sepenuhnya, bangunan kilang berkenaan, ini akan mengurangkan perbelanjaan berulang dalam bentuk penyewaan serta mengambil peluang daripada potensi peningkatan nilai-nilai tanah dan aset bersih syarikat,” katanya.

Pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.- BERNAMA